Monday 8 August 2016

Setiausaha agung, bendahari kehormat FAS sedia letak jawatan

selangor-fa
SHAH ALAM: Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Rosman Mohd Ibrahim dan bendahari kehormat, Datuk S Sivasundram sedia meletak jawatan dalam badan induk bola sepak negeri itu.
Keputusan itu dibuat dipercayai susulan hasrat Presiden FAS yang juga Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mahu melakukan rombakan dan perubahan terhadap persatuan serta pasukan negeri itu.
Rosman dan Sivasundram dalam kenyataan bersama hari ini berkata, mereka menyokong penuh hasrat itu dan berharap perubahan berkenaan dapat dilaksanakan dengan berkesan.
“Setelah lebih 20 tahun berkecimpung dalam bola sepak tempatan, isu seperti penjenamaan semula dan penswastaan adalah sesuatu yang mesti dilakukan, lebih-lebih lagi sebagai pasukan mempunyai sejarah gemilang seperti Selangor.
“Oleh itu, kami selaku setiausaha agung dan bendahari FAS bersedia mengundurkan diri bagi memastikan kelancaran proses transformasi seperti yang dihasratkan presiden.
“Kami juga bersedia melepaskan jawatan dan sementara itu kami akan mengambil cuti serta-merta bagi tujuan menjayakan proses transformasi ini,” katanya.
Semalam, FAS memecat ketua jurulatihnya, Zainal Abidin Hassan selepas prestasi lemah pasukan itu dalam Liga Malaysia.
Tempat Zainal Abidin akan digantikan pembantunya, K Gunalan bagi menghadapi baki saingan Liga Super dan Piala Malaysia sehingga calon sesuai dikenal pasti.
Sebagai rekod musim ini, Selangor tersingkir di peringkat kumpulan Piala AFC, tewas pada pusingan kedua Piala FA dan hanya menang tujuh daripada 17 perlawanan Liga Super untuk berada di kedudukan ketiga setakat ini dengan mengutip 26 mata, 17 mata di belakang pendahulu, Johor Darul Ta’zim.

- Bernama

No comments: