Monday 8 August 2016

PAC tidak akan buka semula siasatan 1MDB, kata Hasan

pac-hasan-ariffin
PETALING JAYA: Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) tidak akan membuka semula siasatan ke atas 1MDB kerana laporan komprehensif sudah dibentangkan di Parlimen pada April lalu, tegas pengerusinya, Datuk Hasan Arifin.
Beliau berkata, pembentangan Laporan Kawalan Pengurusan Tadbir Urus 1MDB oleh PAC turut dilaporkan media serta portal berita dari dalam dan luar negara.
“Laporan itu dipersetujui secara konsensus semua ahli jawatankuasa ini sebelum dibentangkan ke Parlimen.
“Rumusan PAC dalam laporan berkenaan jelas meminta agensi penguat kuasa bertanggungjawab mengambil tindakan tegas terhadap pengurusan 1MDB yang bertanggungjawab,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kenyataan ini adalah maklum balas terhadap tindakan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua meninggalkan mesyuarat PAC hari ini, selepas tiga permintaannya ditolak Hasan.
Pertama, wakil rakyat DAP itu mahu mendapatkan penjelasan berhubung laporan terbaru Wall Street Journal yang Good Star Limited adalah milik ahli perniagaan Malaysia, Low Taek Jho.
Kedua, Pua memohon kebenaran membuka semula laporan siasatan 1MDB berdasarkan laporan DoJ menyatakan seorang individu sebagai Malaysian Official 1 dan AS$681 juta dimasukkan dalam akaun peribadi MO1.
Ketiga, setiausaha publisiti DAP itu mahu PAC menyiasat laporan mendakwa SRC International mengambil RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP).
“Sepanjang mesyuarat, pengerusi asyik kata kami sudah lakukan bahagian kami. Kami sudah tutup kes ini. Macam mana itu boleh berlaku khasnya dengan pendedahan terbaru itu,” soal Pua yang turut mendakwa Hasan cuba “melindungi orang di sebalik 1MDB”.
Pada 7 April lalu, PAC membentangkan laporan hasil siasatannya setebal 106 muka surat di Dewan Rakyat yang menyimpulkan kelemahan tadbir urus 1MDB adalah punca struktur pembiayaan modal dan prestasi kewangan syarikat itu ‘kurang memuaskan’ kerana amalan tidak mematuhi keputusan serta arahan lembaga pengarah.
- FMT

No comments: