Wednesday, 3 August 2016

‘Siasat laporan polis palsu naib ketua pemuda Umno’

 
Ahli Parlimen, Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar mahu polis menyiasat laporan Naib Ketua Pemuda Umno Khairul Azwan Harun yang mendakwa wujudnya konspirasi untuk menggulingkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Katanya, jika polis tidak bertindak atas alasan laporan itu hanya berasaskan andaian semata, ini bermakna ia adalah laporan palsu yang berniat jahat bagi membina pesepsi kebencian dan permusuhan rakyat terhadap penjawat dan bekas pegawai kerajaan.

Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata laporan berkenaan berdasarkan "andaian" dan tidak mewajarkan siasatan lanjut serta memaklumkan Khairul juga tidak akan disiasat kerana membuat laporan palsu.

“Kenapa tiba-tiba selepas dipanggil polis, semua dakwaan disahkan pihak polis hanya berdasarkan andaian-andaian sahaja.

“Adakah IGP terpaksa menutup kes ini kerana bimbang jika disiasat akan membongkarkan kertas siasatan dan pendakwaan sebenar yang disiasat oleh tiga Tan Sri ini bersama pasukan jabatan mereka,” kata Mahfuz dalam satu kenyataan hari ini.

Mahfuz merujuk kepada laporan polis Naib Ketua Pemuda Umno itu minggu lalu yang menamakan bekas Gabenor Bank Negara Tan Sri Zeti Akthar Aziz, bekas Ketua Pesuruhjaya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Abu Kassim Mohamed dan bekas Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail berkonspirasi terhadap Najib dan kerajaan.

Beliau mendakwa ketiga-tiga mereka disyaki memberi maklumat sulit kepada agensi-agensi asing, termasuk Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) di Amerika Syarikat, tanpa kebenaran.

Khairul juga mendakwa bahawa ketiga-tiga mereka juga memalsukan maklumat untuk mencapai agenda mereka.

Pemimpin PAS itu berhujah bahawa Khairul Azwan perlu disiasat dan didakwa mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya.

“Polis hanya mengambil tindakan kepada orang awam biasa atas kesalahan laporan palsu tetapi takut untuk bertindak terhadap budak Khairul suruhan Umno.

“Laporan palsu yang jahat dengan restu Umno telah mengaib, mencalar dan menjatuhkan maruah nama baik tiga Tan Sri dan penjawat awam.

“Budak Khairul yang kurang ajar dan biadab ini mesti disiasat dan didakwa,” katanya.

Bagaimanapun, Najib, yang juga presiden Umno, dan Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin Abu Bakar minggu lalu berkata Khairul Azwan bertindak atas kapasiti individu apabila membuat laporan polis itu.

No comments: