Wednesday 17 August 2016

Stadium bukan tempat luah kemarahan, kata Bersih

mari-chin-bersih
PETALING JAYA: Bersih 2.0 hari ini menolak tawaran menggunakan stadium bagi perhimpunan yang bakal diadakan bagi membantah keputusan menutup siasatan isu 1MDB.

Pengerusinya Maria Chin Abdullah berkata tidak masuk akal membataskan peserta protes di dalam sesebuah kawasan seperti stadium.

Seperti tahun sebelum ini, beberapa pemimpin politik Barisan Nasional (BN) menggesa Bersih mengadakan perhimpunannya di dalam stadium dan bukan di jalan raya.

Bagaimanapun, Maria berkata ia akan hanya menggagalkan objektif protes mengetengahkan kemarahan rakyat.

“Protes merupakan satu bentuk luahan kemarahan. Ia perlu dibenarkan di mana-mana. Tidak masuk akal permintaan mereka hanya boleh protes di dalam stadium, di bawah bumbung dan sebagainya,” Maria memberitahu wartawan hari ini.

Ketua Pemuda Gerakan, Tan Keng Liang sebelum ini menawarkan mahu membantu Bersih 2.0 mendapatkan sebuah stadium supaya protes tidak mengganggu keselamatan awam, seperti yang didakwanya berlaku pada 2012.

Sementara itu, aktivis Ivy Josiah menolak kebimbangan mengenai keselamatan awam, dan memberi contoh perhimpunan Bersih tahun lalu yang berjalan secara aman.

Katanya, polis juga lebih bersikap “matang” seperti yang ditunjukkan ketika protes 2 hari pada Ogos tahun lalu.

“Mereka sudah menyaksikan demonstrasi aman kami. Saya tidak fikir akan ada kekacauan dengan pihak polis.”

Pada 27 Ogos, kumpulan pelajar dan belia dijangka mengadakan demonstrasi #TangkapMO1, merujuk ungkapan “Malaysian Official 1” dalam dokumen Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat.

Demonstrasi itu diadakan bagi menggesa kerajaan mendedahkan identiti di sebali MO1.

“Adalah menjadi tanggungjawab pihakl berkuasa menyiasat identiti MO1,” kata Maria pada sidang media yang dihadiri beberapa pertubuhan sivil hari ini.

Sebelum ini, Pengarah Komunikasi Strategik BN Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata hanya “orang bodoh” yang tidak tahu identiti MO1.

- FMT

No comments: