Tunku Ismail, dalam temubual rancangan “Obviously Harith Iskander” di Astro Awani berkata, beliau akan menghadiri jamuan teh bersama Najib pada 12 Ogos ini.
Tinjauan FMT mendapati kos sara hidup tinggi antara aduan paling kerap yang mahu disampaikan orang awam kepada Najib.
Bagi pengawal keselamatan, Noorhisham Mad Daud, 48, terdapat perbezaan ketara pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Najib.
“Beritahu TMJ, kalau masa era Dr Mahathir, walaupun susah kita masih ada duit. Sekarang ini walaupun ada bantuan sana sini tetapi masih tidak ada duit.
“Dari segi kos harga barang itu bagi yang tiada tanggungan boleh, tetapi bagi yang mempunyai keluarga besar mungkin terasa sedikit dari segi kenaikkan kos, minyak dan barang keperluan,” katanya.
Pemuzik Ainal Bustari Johari, 27, berkata beliau tidak mempunyai masalah dengan isu lain kerana beranggapan ia hanyalah permainan politik.
Namun, perkara yang membimbangkannya adalah harga barang yang semakin meningkat malah diburukkan lagi ketika musim perayaan.
“Kalau yang lain saya tidak ada masalah, kecuali kos sara hidup dan harga barangan perlulah diturunkan sedikit,” katanya.
Ujarnya, kos sara hidup ketika ini tidak seimbang walaupun mempunyai pendapatan yang tinggi.
“Biarlah seimbang dengan gaji yang kita dapat, kerana sekarang ini gaji tinggi masih lagi tidak cukup. Maksudnya kalau RM2,000 lebih bagi yang berumahtangga, sara hidup dan harga rumah kena kurangkan,” jelasnya.
Bagaimanapun, Ainal tidak mempunyai masalah dengan perlaksanaan dengan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang mula diperkenalkan pada 2014.
Sementara itu, ahli akademik Dr Faharuddin M. Hassan, 62 berharap TMJ mengingatkan Najib supaya mempunyai wawasan yang lebih tinggi daripada Dr Mahathir.
“Jika dibandingkan dengan ‘old man’, Tun Dr Mahathir Mohamad dia nampak wawasan. Contohnya dia nampak lebuh raya sebagai keutamaan.
“Kalau waktu itu dia tidak bina macam mana dengan keadaan sekarang ini. Jadi pembangunan seperti ini perlu diperbanyakkan lagi untuk rakyat rakyat,” jelasnya.
No comments:
Post a Comment