Saturday, 6 August 2016

Anggota polis ditahan keluar kenyataan perkauman di Facebook

Seorang anggota polis ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam Johor Bahru petang ini kerana dipercayai mengeluarkan kenyataan jelik berunsur perkauman di laman Facebook Khamis lepas.
Ketua Polis Johor Datuk Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata anggota lelaki berusia 28 tahun itu ditahan pada pukul 4.15 petang tadi.
Dalam kenyataan di Johor Bahru hari ini, Wan Ahmad Najmuddin berkata kenyataan berunsur perkauman itu boleh mengganggu gugat ketenteraman awam dalam kalangan masyarakat, sekali gus menjejaskan keharmonian masyarakat Malaysia yang terdiri
daripada pelbagai kaum.
"Turut dirampas satu telefon bimbit jenis Samsung Galaxy Mega 2, yang
dipercayai digunakan suspek bagi memuat naikkan kenyataan berunsur perkauman itu menerusi Facebook," kata Wan Ahmad Najmuddin.
Beliau berkata suspek yang merupakan anggota polis yang bertugas di Balai Polis Desa Cemerlang, kini disiasat mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya dan boleh didenda selanjutnya
RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.
Wan Ahmad Najmuddin berkata polis tidak akan mengamalkan pilih kasih dalam siasatan yang dilakukan dengan telus, tanpa mengira sama ada ia melibatkan anggota atau pegawai Polis Diraja Malaysia sendiri.
-Bernama

No comments: