Saturday, 6 August 2016

Singapura waspada lepas plot serangan roket gagal

Singapura meningkatkan langkah berjaga-jaga sehari selepas polis Indonesia menahan sekumpulan lelaki yang dipercayai merancang serangan roket ke atas bandar raya itu dengan bantuan militan IS.
Enam suspek militan itu ditahan subuh semalam dalam serbuan di pulau Batam, kira-kira 15 kilometer dari selatan Singapura, di mana polis percaya mereka merancang serangan roket.
Ketua polis tempatan, Sam Budigusdian berkata lelaki-lelaki berkenaan masih ditahan di sana sementara siasatan diteruskan.
Menteri Dalam Negeri Singapura, K Shanmugam, berkata mereka merancang menyerang Marina Bay yang menempatkan acara Formula Satu Grand Prix, roda ferris gergasi dan sebuah resort kasino.
"Ini menunjukkan bagaimana musuh-musuh kita memikirkan cara-cara yang berbeza untuk menyerang kami," kata Shanmugam dalam Facebook.
"Pengganas... akan berusaha untuk datang melalui pintu masuk kami; mereka juga akan cuba melancarkan serangan dari luar. Dan ini adalah tambahan kepada serangan tunggal daripada individu / kumpulan radikal. Kita perlu lebih berhati-hati"
Batam dihubungkan dengan Singapura oleh feri. Resort pantai dan padang golfnya merupakan destinasi pelancongan untuk rakyat Singapura yang sedang membuat persediaan untuk meraikan Hari Kebangsaan pada Selasa depan.

No comments: