Ketika British baru menyedari manfaat pemberian bayaran tunai secara langsung kepada isi rumah dalam menjana pertumbuhan ekonomi, Malaysia di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak telah lama melaksanakannya, menurut portal cenderung Umno.
MyKMU.net mendakwa pendekatan ekonomi yang menyamai inisiatif Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang dicetuskan Najib sedang dipertimbangkan secara serius oleh para ahli ekonomi British.
Portal tersebut memetik laporan The Guardian, 35 pakar ekonomi di Britain sepakat dengan idea menyediakan wang secara langsung kepada isirumah menjadi dasar yang paling berkesan untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi.
Dibawah kepimpinan Najib, BR1M yang diperkenalkan pada 2012 bukan sahaja sebagai cara untuk membantu rakyat, tetapi juga untuk merangsang ekonomi negara dengan perbelanjaan hasil dari pemberian inisiatif itu, katanya.
"Ia juga bertindak sebagai pelopor agenda memulangkan lebihan pendapatan negara kepada rakyat, sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum ini.
"Mereka baru terfikir, kita sudah melaksana," ujarnya lagi.
Portal itu turut memetik Pengarah dan Ketua Serantau Pasaran Modal Ekuiti RHB Investment Bank, Gan Kim Choon sebagai berkata, perbelanjaan rakyat amat membantu dalam memacu ekonomi kerana langkah itu menjana pertumbuhan perniagaan domestik.
"Malah, BR1M dapat merangsang ekonomi dalam jangka masa panjang," kata Gan.
Umumnya, kata portal itu, ramai pengalisis ekonomi (bukan politik) bersetuju dengan pemberian BR1M yang mewujudkan kesan positif berganda kepada rakyat dan negara yang membolehkan rakyat berpendapatan rendah meningkatkan perbelanjaan masing-masing sekaligus membantu pertumbuhan ekonomi.
No comments:
Post a Comment