Wednesday 17 August 2016

Indonesia kerah pasukan 24 jam lawan kebakaran hutan

Supriyanto_bakar_indon_600
JAKARTA: Pasukan khas pemadam api dikerah bertugas 24 jam untuk mengawal kebakaran hutan yang sedang berlaku di 74 titik panas di wilayah Riau, Sumatera.

Kebakaran hutan dan ladang kelapa sawit itu dilaporkan mula mengakibatkan beberapa buah negeri di Malaysia mengalami indeks pencemaran udara (IPU) berada di tahap sederhana.

Media tempatan memetik Ketua Polis Riau, Supriyanto sebagai berkata pasukan khas yang dianggotai Bomba, Polis, Tentera Darat dan Tentera Laut Indonesia itu dilaporkan berjaya mengawal kebakaran di 50 titik panas dan sedang bertungkus lumus untuk mengawal api di keseluruhan kawasan titik panas.

Antara kawasan titik panas yang sedang dipantau ialah daerah Bengkalis, Kotamadya Dumai, Kepulauan Meranti, Pelalawan, Rokan Hulu dan Siak.

Katanya pasukan khas juga menggunakan pelbagai kaedah kebakaran termasuk “water bombing” dan pemadaman api secara manual.

Sementara itu menurut laporan Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika (BMKG) yang dikutip daripada www.bmkg.go.id, bacaan IPU di wilayah Pekan Baru,
Riau dan Pontianak di Kalimantan pagi ini dilaporkan tidak sihat dengan catatan
bacaan indeksnya ialah 160 dan 150.

Presiden Indonesia Joko Widodo baru-baru ini mengarahkan pasukan khas yang ditubuhkan oleh kerajaan untuk mengatasi masalah kebakaran hutan dan ladang kelapa sawit secara maksimum bagi memastikan masalah jerebu yang serius seperti tahun lepas tidak berulang.

Indonesia juga memgambil tindakan tegas dengan menangkap dan mendakwa mereka yang melakukan kebakaran ladang secara sengaja bagi tujuan penanaman semula kelapa sawit.

Malaysia adalah antara negara yang serius dilanda jerebu akibat kebakaran hutan dan ladang di Indonesia selama empat bulan pada tahun lepas sehingga beberapa buah sekolah di beberaoa buah negeri terpaksa ditutup apabila bacaan IPU berada di tahap sangat tidak sihat.


- Bernama

No comments: