Wednesday 17 August 2016

Tiada rancangan naikkan kadar GST, kata menteri

Johari-Abdul-Ghani_gst_600
PUTRAJAYA: Kerajaan tidak akan menaikkan kadar Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) walaupun pengurangan hasil sebanyak RM30 bilion dijangka pada tahun ini daripada industri minyak dan gas, kata Menteri Kewangan Kedua Datuk Johari Abdul Ghani.

Beliau berkata kerajaan komited untuk membantu kumpulan berpendapatan rendah dan sederhana dan menguruskan defisit fiskal dengan cekap yang akan membawa kepada pertumbuhan ekonomi yang kukuh.

“Walaupun kerajaan sedang menghadapi masa sukar disebabkan kehilangan hasil daripada industri minyak dan gas, kerajaan tidak akan menaikkan kadar GST,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian bagi cadangan terbitan Sukuk Wakalah untuk projek Setiawangsa-Pantai Expressway di sini hari ini.

Sukuk Wakalah akan menjadi antara terbitan terbesar bagi projek pembinaan lebuh raya baharu.

Malaysia melaksanakan GST pada kadar enam peratus pada 1 April, 2015.

“Kali ini merupakan masa yang sukar untuk kerajaan.

“Sudah pasti, kita perlu menguruskan defisit fiskal kita kerana kita tidak mahu defisit kita menjadi terlalu besar yang akan memberi kesan kepada penarafan kita. Kadar faedah akan meningkat dan ini akan memberi kesan kepada semua sektor,” katanya.

- Bernama

No comments: