Friday, 5 August 2016

Parti baru Muhyiddin bukan ancaman pada Umno, kata MB Perlis

Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man berkata, penubuhan parti politik baharu yang bakal diterajui oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin hanya akan mewujudkan perpecahan dalam kalangan rakyat terutamanya orang Melayu.

Beliau berkata, sebagai negara demokrasi, Malaysia tidak akan menghalang mana-mana kumpulan untuk menubuhkan parti politik mereka sendiri.

"Tetapi tindakan itu memberi kesan kepada kebersatuan seluruh rakyat,” katanya selepas tamat persidangan Dewan Undangan Negeri Perlis ke-13, semalam, memetik laporan Umno Online.

Azlan berkata demikian sebagai mengulas hasrat bekas timbalan perdana menteri itu yang akan membuat permohonan untuk mendaftarkan sebuah parti politik baharu dalam masa terdekat.

Datuk A Kadir Jasin hari ini mengesahkan bahawa parti politik baru yang akan didaftarkan oleh Muhyiddin adalah parti Melayu/Bumiputera (peribumi).

“Ia bermatlamat mewarisi, meneruskan dan memperbaharui perjuangan Melayu/Bumiputera dalam era globalisasi, reformasi, ketelusan dan keterbukaan.

“Ia akan bekerjasama secara terangkum (inclusive) dengan parti-parti politik yang kini menentang BN. Perbincangan awal telah pun dimulakan,” katanya di blog.

Terdahulu, Muhyiddin mengesahkan beliau akan mendaftarkan sebuah parti politik baru dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS).

"Sama-samalah kita berdoa semoga permohonan ini akan diluluskan, Insya-Allah, kita akan lakukan yang terbaik untuk rakyat dan negara," katanya.

Jawatankuasa penaja parti itu terdiri daripada Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai pengerusi, manakala Tan Sri Muhyiddin, Kamarul Azman Habibur Rahman dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir masing-masing sebagai presiden, setiausaha dan bendahari.

Ahli jawatankuasa terdiri daripada bekas ketua wanita Umno Langkawi Anina Saadudin, bekas ketua Pemuda Umno, Bendang Baru Akhramsyah Sanusi dan pemimpin kumpulan belia Challenger, Syed Saddiq Abdul Rahman.

Mengulas lanjut, Azlan berkata, penubuhan parti baru itu tidak akan menjejaskan Umno yang masih utuh meneruskan matlamat perjuangan mereka untuk rakyat walaupun apa juga cabaran.

“Saya yakin rakyat yang berfikir, tidak akan terpedaya lagi dan dalam kalangan ahli Umno yang betul-betul berpegang kepada kesetiaan dan perjuangan, parti tidak akan goyah.

“Perjuangan Umno jelas dan berada pada landasan yang betul, adanya sebuah lagi parti baru tidak bermakna apa-apa bagi Umno walaupun mungkin anggotanya terdiri daripada bekas ahli tertinggi Umno itu sendiri,” tambahnya.

No comments: