Idris berkata laporan berkenaan adalah mengenai soal keselamatan dan kedaulatan negara kerana ia membabitkan bekas Gabenor Bank Negara Tan Sri Zeti Akhtar Aziz; bekas Ketua Pesuruhjaya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Tan Sri Abu Kassim Mohamed dan bekas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail.
“Ini bukan laporan curi telur ayam. Ini bukan laporan palsu curi kereta. Ini soal keselamatan dan kedaulatan, kononnya (mereka) memberi maklumat kepada agensi Amerika Syarikat termasuk Biro Siasatan Persekutuan (FBI).
“Soal siapa salah atau benar tentang laporan tersebut, biarlah dibawa ke pengadilan terlebih dahulu,” kata Idris dalam tulisan di Facebook hari ini.
Khairul Azwan dalam laporannya mendakwa ketiga-tiga pegawai tertinggi kerajaan itu berkonspirasi dengan disyaki memberi maklumat sulit kepada agensi-agensi asing, termasuk Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) di Amerika Syarikat serta memalsukan maklumat.
Selasa lalu, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, polis tidak akan menyiasat laporan Khairul Azwan kerana laporan itu berdasarkan "andaian" dan oleh itu tidak mewajarkan siasatan lanjut.
Khalid juga berkata pemimpin pemuda Umno itu tidak akan disiasat kerana membuat laporan palsu setelah memberinya amaran.
Bimbang terburai?
“Kenapa laporan ini dihentikan begitu sahaja. Semuanya menjadi perbualan di kalangan masyarakat.
“Timbul persoalan apakah kerana Khairul Naib Ketua Pemuda Umno? Atau takut perkara yang terlindung terburai,” kata Idris.
“Cukuplah wahai Ketua Polis Negara, bukankah negara kita dilanda krisis keyakinan terhadap badan penguatkuasa dan perundangan. Kenapa kes ini berlalu begitu sahaja.
“Macam mana alasan yang diberi begitu naif, hanya laporan itu berdasarkan andaian. Adakah ini tidak boleh dikategori sebagai laporan palsu? Bukankah ada peruntukan bagi mereka yang melakukan kesalahan membuat laporan palsu,” soalnya.
Semalam, Pemuda AMANAH Perak membuat laporan polis terhadap Khairul Azwan berhubung laporan yang didakwa palsu.
Menurut Pemuda AMANAH, mereka akan menggerakkan semua negeri untuk membuat laporan yang sama ke atas Naib Ketua Pemuda Umno itu.
Sementara itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, yang juga presiden Umno, minggu llau, berkata tindakan Khairul Azwan tidak mewakili parti, manakala Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin Abu Bakar pula berkata timbalannya itu bertindak secara individu.
No comments:
Post a Comment