Wednesday, 3 August 2016

Peguam: Siasat Azwan buat laporan palsu terpulang kepada polis

Eric-Paulsen_Khairul-Azwan_law_600
KUALA LUMPUR: Sama ada polis mahu menyiasat Naib Ketua Pemuda Umno, Khairul Azwan Harun atas kesalahan membuat laporan palsu terhadap beberapa tokoh negara kerana dituduh bersekongkol dengan kuasa asing menjatuhkan kerajaan, terpulang kepada budi bicara polis, kata peguam.

Eric Paulsen, yang mengetuai kumpulan peguam hak asasi Lawyers for Liberty, mengakui polis tidak semestinya perlu mengambil tindakan sedemikian.

“Tetapi kebiasannya untuk membuat laporan polis, perlu ada asas dan niat yang baik, dan dalam isu ini jelas ia berbau politik.

“Polis boleh beri amaran atau siasat (di bawah) kesalahan membuat laporan palsu. Ia bergantung kepada budi bicara polis,” kata Paulsen kepada FMT.

Sebelum ini, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengumumkan laporan Azwan terhadap bekas peguam negara Tan Sri Abdul Gani Patail, bekas gabenor Bank Negara Tan Sri Zeti Akthar Aziz dan bekas ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Abu Kassim Mohamed, hanya berdasarkan andaian dan oleh itu tidak akan disiasat.

Pimpinan tertinggi Umno bagaimanapun menjauhkan diri daripada tuduhan Azwan itu.

Ekoran itu, peguam Syahredzan Johan berkata Azwan boleh didakwa di bawah Seksyen 182 Kanun Seksaan kerana memberikan maklumat palsu kepada polis.

Seksyen 182 berkisar kesalahan membuat laporan palsu dengan niat menyebabkan penjawat awam menggunakan kuasa yang sah untuk mendatangkan bencana kepada orang lain. Pesalah boleh dihukum penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM2,000, atau kedua-duanya sekali.

Pada tahun ini, beberapa kes maklumat palsu dibawa ke mahkamah tetapi tiada yang melibatkan tokoh politik.

Antaranya kes di Seremban yang melibatkan seorang pengurus syarikat berusia 36 tahun yang mendakwa sejumlah RM20,000 wang syarikat dilarikan penjenayah.

Pada 1 Mac, seorang remaja perempuan berusia 17 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret Tampin selepas didapati membuat laporan palsu mendakwa disamun dan dirogol.

No comments: