Thursday, 4 August 2016

Permohonan Ku Nan batal saman Anina didengar dulu

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan penangguhan kepada Umno dan kerajaan berhubung permohonan bekas ahli Umno, Anina Saadudin untuk mengisytiharkan Seksyen 18c Akta Pertubuhan, yang melarang mana-mana ahli parti daripada membawa pertikaian mereka ke mahkamah sebagai tidak berperlembagaan.

Ini berikutan permohonan Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Setiausaha Kerja Umno, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh untuk membatalkan saman yang difailkan oleh Anina berhubung pemecatannya.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Roslan A Bakar membenarkan penangguhan sementara menunggu perbicaraan berhubung permohonan untuk membatalkan saman itu.

"Permohonan pembatalan akan didengar pada 10 Oktober," kata peguam Mohammad Raffique Rashid Ali yang mewakili Anina.

Ini juga disahkan oleh peguam Mohd Hafarizam Harun yang mewakili Umno.

Pada 3 Jun lalu, Anina memfailkan saman pemula itu bagi mendapatkan pengisytiharan Seksyen 18C Akta Pertubuhan itu sebagai tidak sah dan terbatal dan bercanggah dengan Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan iaitu kebebasan diri dan Perkara 8 iaitu kesamarataan di sisi undang-undang.

Anina menamakan kerajaan Malaysia, Tengku Adnan dan Ab Rauf dalam kapasitinya sebagai pegawai awam Umno sebagai defendan pertama hingga ketiga.

Katanya oleh itu Fasal 20.7 Perlembagaan Umno iaitu mana-mana ahli yang membawa perkara parti atau keahliannya ke mahkamah tanpa mematuhi sepenuhnya peraturan parti akan digugurkan keahlian, adalah tidak sah dan terbatal kerana melanggar Perkara 5 dan 8.

Oleh itu Anina mendakwa pemecatan keahliannya di dalam Umno adalah tidak sah dan terbatal.

No comments: