Tuesday 16 August 2016

Republican di Israel lancar kempen sokong Donald Trump

donald
JERUSALEM: Parti Republican cawangan Israel mula berkempen semalam untuk memastikan pengundi Amerika Syarikat (AS) yang menetap di Israel membuat undi serahan yang berpihak kepada Donald Trump.

Menurut cawangan Republican di Israel, kira-kira 300,000 rakyat AS layak mengundi dalam pemilihan presiden pada November depan. Mereka menetap di Israel atau penempatan di Tebing Barat dan Timur Jerusalem.

Ketua cawangan luar negara Republican bagi Israel, Marc Zell berkata kempen itu menyasarkan untuk menyalakan semula minat terhadap politik AS dalam kalangan warganegara generasi kedua dan ketiga, ramai mempunyai anak yang layak mengundi kali pertama tahun ini.

“Kami mahu cuba menarik pengundi baharu yang mungkin sebelum ini tidak berminat untuk mengundi dalam pemilihan presiden AS,” katanya.

Tzvika Brot, yang mengetuai kempen itu, menjangkakan kira-kira tiga perempat warganegara AS-Israel akan menyokong parti Republican.

Wakil parti Democrat di Israel menyanggah anggaran itu, memberitahu Radio Israel yang majoriti pengundi di Israel dan Yahudi AS selama ini memang lebih memilih Democrat.

Satu pungutan suara yang dijalankan dalam kalangan Yahudi Israel pada Mei mendapati 40% responden menyokong calon Democrat, Hillary Clinton dan 31% memilih Trump. Pungutan suara itu bagaimanapun tidak menyatakan sama ada mereka yang memberi respons itu layak mengundi dalam pemilihan presiden AS atau tidak.

Kaunter pro-Trump dibuka di pusat beli-belah di pusat bandar Modiin di Israel dan akan memfokuskan kepada kawasan yang padat penduduk AS-Israel.

Brot berkata beliau berharap undi baharu yang diperoleh mungkin dapat membantu mengimbangkan pemilihan di AS.

Trump, yang mendakwa pentadbiran Presiden Barack Obama kurang sokongan terhadap Israel, memenangi pencalonan presiden daripada partinya, bulan lalu. Beliau menolak rundingan nuklear dengan Iran pada tahun lalu dan mendesak lebih banyak pelaburan dalam pertahanan senjata di Eropah.

Pandangannya, termasuk berjanji untuk membina tembok sepanjang sempadan AS-Mexico dan cadangan mengenakan larangan sementara terhadap Muslim ke AS, menyebabkan polarisasi kepada Republican.

Trump juga dikritik kerana pengetahuannya yang kurang mengenai dasar luar. Menteri Luar Jerman Frank-Walter Steinmeier pada bulan lalu berkata Trump akan menyebabkan AS dalam risiko dan keselamatan dunia terjejas dengan ketakutannya terhadap politik dan pengasingan.

- Reuters

No comments: