Tuesday, 16 August 2016

Doktor dikatakan rawat Najib, Rosmah letak jawatan dalam NGO antipenuaan

Doktor yang dikatakan pernah merawat perdana menteri Datuk Seri Najib Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor selama bertahun-tahun meletak jawatan sebagai naib presiden sebuah organisasi antipenuaan.

Perkara itu didedahkan oleh Presiden Society For The Advancement of Hormones and Healthy Aging Medicine Malaysia (SAHAMM), Dr Selvam Rengasamy dalam satu kenyataan hari ini.

"Dr Sidiq (Mohamed) telah meletak jawatan sebagai naib presiden SAHAMM kerana dia tidak mahu SAHAMM diseret dalam perkara yang melibatkannya atas sifat peribadinya," kata Rengasamy dalam kenyataan itu.

Sidiq disebut dalam laporan Sarawak Report pada 3 Ogos sebagai individu berpangkat tinggi yang dikatakan dikenal pasti dalam dokumen yang bocor sebagai "B1".

Isterinya didakwa menggunakan RM1.15 juta daripada dana SRC International yang dialihkan untuk membeli hormon antipenuaan.

Malaysiakini cuba menghubungi Sidiq mengenai perkara itu tetapi tiada jawapan.

Sementara itu, Rengasamy juga berkata dalam kenyataan itu bahawa SAHAMM tidak mengetahui pembayaran yang dibuat oleh mana-mana pelanggan kepada Sidiq.

Beliau mengesahkan SAHAMM bukan sebuah klinik tetapi satu pertubuhan bukan berasaskan keuntungan yang memperkenalkan rawatan-rawatan antipenuaan.

Katanya, organisasi itu pada umumnya melibatkan diri dalam mengajar dan menyebarkan maklumat mengenai rawatan antipenuaan.

"Kami mendekati Sarawak Report untuk memberi penjelasan selepas kami dibanjiri dengan pertanyaan daripada pesakit dan rakan-rakan profesional di luar negara," katanya.

Rengasamy menulis surat terbuka kepada Sarawak Report selepas laman web itu menerbitkan artikel tersebut, mendakwa pembelian hormon pertumbuhan anti-penuaan berkenaan.

Beliau mendakwa artikel itu mencemarkan reputasinya dan juga SAHAMM.

"Saya menulis e-mel ini tanpa prasangka atau niat jahat. Saya tidak mempunyai apa-apa jawatan politik.

"Saya menulis untuk merayu kepada idea-idea kewartawanan tertinggi dan prinsip-prinsip yang anda dedahkan dalam Sarawak Report dan meminta anda membantu membetulkan beberapa ketidaktepatan berkenaan dengan cerita anda pada 3 Ogos.

"Saya amat sedih dan terkejut dengan artikel di atas yang telah mencemarkan reputasi dan juga SAHAMM," surat itu dipetik.

Rengasamy, yang juga pakar obstetrik yang diperakui dan pakar sakit puan dengan 32 tahun pengalaman menegaskan dalam suratnya bahawa beliau adalah seorang "doktor" dan tidak terlibat dalam mana-mana politik.

Beliau tidak merawat perdana menteri atau isterinya atau mana-mana ahli politik, katanya.

"Saya presiden SAHAMM dan Sidiq adalah naib presiden dan ini hanya hubungan profesional," katanya.

Selain pembelian hormon pertumbuhan anti-penuaan, Sarawak Report juga mendakwa dana SRC digunakan untuk tujuan berkenaan.

Sebelum ini, Najib mengakui RM42 juta wang SRC dimasukkan ke akaun peribadinya.

Bagaimanapun, Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali membersihkan perdana menteri daripada sebarang salah laku dan menjelaskan Najib tidak mengetahui dana SRC itu dipindahkan kepadanya.

Najib berulang kali menafikan menyalahgunakan wang rakyat untuk kepentingan peribadi dan menuduh mereka yang terbabit dalam tuduhan itu berkonspirasi untuk menjatuhkannya.

- MK
Post a Comment