Pengerusi Biro Publisiti MCA, Datuk Chai Kim Sen hari ini menempelak Dr Ridhuan Tee Abdullah dan Datuk Tajuddin Abdul Rahman kerana dikatakan sengaja merendahkan daya saing dan prestasi kakitangan Melayu di tempat kerja.
Di samping itu, ujar Chai lagi, kenyataan ahli akademik dan ahli majlis tertinggi Umno itu dilihat sebagai cubaan untuk menanam kebencian antara kaum di negara ini.
"Selain 1.5 juta orang Melayu sertai perkhidmatan awam, apakah yang lain menganggur dan tidak bekerja di sektor swasta atau syarikat milik usahawan Cina.
"Terdapat begitu ramai pekerja Melayu yang bekerja di sektor swasta dan memegang tampuk jawatan pengurusan kanan.
"Tajuddin dan Ridhuan hidup dalam kepompong kecil dan tidak memahami realiti dunia sebenar. Kenyataan mereka menjadikan kedua-duanya sebagai bahan ketawa kerana tidak masuk akal," katanya dalam kenyataan.
Baru-baru ini, Ridhuan berkata, terdapat beberapa kajian daripada sarjana tempatan sebagai bukti bahawa firma milik kaum Cina dan pihak asing lebih mengutamakan graduan kaum Cina untuk bekerja dengan mereka.
Ridhuan memetik kajian pada 2012 melibatkan lepasan siswazah daripada universiti awam dan swasta tempatan yang memohon bekerja dalam bidang kejuruteraan, perakunan dan kewangan.
Kajian itu katanya, menyebut bahawa graduan Cina lebih mudah dipanggil untuk ditemuduga berbanding orang Melayu dengan faktor kaum lebih diutamakan.
“Hasil kajian tersebut, daripada 3,012 resume yang dihantar untuk 753 pekerjaan kepada syarikat terbabit, orang Melayu hanya mempunyai 4.2 peratus peluang untuk dipanggil menghadiri temu duga.
“Berbanding orang Cina mempunyai sebanyak 22.1 peratus peluang walaupun mereka mempunyai kelulusan setara dan lepasan universiti sama dengan orang Melayu," ujarnya seperti dilapor portal milik Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ismaweb.
Terdahulu, Tajuddin yang juga menteri pertanian dan industri asas tani turut mendakwa firma-firma Cina menindas kaum Melayu.
Memetik laporan China Press, Tajuddin berkata, syarikat-syarikat Cina atau bukan Melayu tidak akan mengambil pekerja Melayu sedangkan mereka menuduh Umno sebagai rasis, fanatik, namun mereka lebih bersikap perkauman.
Menurut Tajuddin, syarikat-syarikat Cina atau bukan Melayu tidak akan mengambil pekerja Melayu sedangkan mereka menuduh Umno sebagai rasis, fanatik, namun mereka lebih bersikap perkauman.
Oleh itu, beliau berkata, orang Melayu tidak mempunyai pilihan tetapi beralih kepada perkhidmatan awam di mana kira-kira 1.5 juta kakitangan awam adalah kaum Melayu.
Beliau menambah orang Cina boleh memohon untuk menyertai perkhidmatan awam tetapi mereka lupa untuk memberi ruang kepada orang Melayu menyertai sektor swasta.
Tajuddin juga mempertahankan Umno terhadap tuduhan perkauman dengan menyatakan bahawa jika parti itu bersikap perkauman, masyarakat Cina tidak akan menjadi kaya seperti hari ini.
Mengulas lanjut, Chai berkata, dalam pasaran pekerjaan, syarikat mengambil kakitangan berdasarkan pengalaman, kelayakan, daya tahan dan kualiti di tempat kerja, keupayaan menyesuaikan diri dan bukannya bergantung semata-mata kepada warna kulit atau faktor etnik.
"Bagi menyokong pertumbuhan ekonomi negara, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang kebanyakannya terdiri daripada perniagaan milik usahawan Cina telah menggajikan ramai kakitangan Melayu.
"Ini menunjukkan tidak ada perbezaan kaum apabila perniagaan Cina mengupah pekerja dan semua kaum bekerja untuk mengisi pasaran kerja. Pengambilan ke dalam sektor swasta tidak ada kena mengena dengan kaum," tambahnya.
- MK
No comments:
Post a Comment