Tuesday 6 September 2016

15 lelaki belasah 2 diplomat Sri Lanka di KLIA

IGP
PETALING JAYA: Siasatan awal polis mendapati, sekurang-kurangnya 15 orang terbabit dalam kes membelasah pesuruhjaya tinggi Sri Lanka di Malaysia dan suspek memakai baju badan kebajikan Naam Thamilar, lapor China Press.

Menurut akhbar itu, Ibrahim Ansar cedera dipukul di bahagian mata dan kening, kerana enggan menjawab soalan kumpulan lelaki terbabit yang ingin tahu sama ada bekas presiden Sri Lanka, Mahinda Rajapaksa sudah pulang ke negara itu.

Setakat ini, lima suspek ditahan polis, manakala empat yang lain masih diburu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dilaporkan berkata, suspek berusia 27 hingga 56 tahun itu diberkas di Dengkil, Selangor, Perak dan Kuala Lumpur awal pagi semalam.

Malay Mail Online pula memetik Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) sebagai berkata, kejadian itu berlaku di kawasan awam.

Ibrahim dan setiausaha keduanya, M H M Shuayb pergi ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk menghantar Menteri Perindustrian Utama Sri Lanka, Daya Dharmapala Kilittuwa Gamage yang tiba di negara ini minggu lalu, bagi menghadiri Persidangan Antarabangsa Parti-parti Politik Asia (IAPP).

Sumber polis yang dipetik portal berita itu berkata, Ibrahim dan Shuayb didatangi kira-kira 15 lelaki India tempatan, ketika mereka berdua dalam perjalanan keluar dari kawasan VIP di tingkat tiga kira-kira jam 3 petang kelmarin.

Kumpulan itu dipercayai adalah penyokong Liberation of Tamil Tigers (LTTE) dan memakai baju tertera Naam Thamilar (Kami adalah orang Tamil).

Mereka yang ingin tahu kedudukan Rajapaksa, bertindak ganas memukul dua diplomat itu, apabila Ibrahim enggan melayan mereka dan cuba beredar dari sana.

Anggota keselamatan Malaysia Airports yang tiba di tempat kejadian segera menyuraikan kumpulan berkenaan dan mengiringi pesuruhjaya tinggi Sri Lanka itu ke balai polis untuk membuat laporan.

Sumber polis mengesahkan Rajapaksa sudah meninggalkan Malaysia pada jam 8.30 pagi semalam di terminal sama.

- FMT

No comments: