Tuesday 6 September 2016

Malaysia harus malu samseng serang duta Sri Lanka

Ibrahim-Sahib-Ansar
Oleh Edwin Michael

Klip video serangan sekumpulan individu yang menyerang Pesuruhjaya Tinggi Sri Lanka di Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) adalah insiden serangan kedua melibatkan pihak yang mempunyai kaitan dengan Sri Lanka, selepas ketua sami kuil Buddha yang turut menjadi sasaran.

Persoalan paling penting sekarang ialah atas justifikasi apa kumpulan samseng ini tidak ditahan pihak keselamatan KLIA sedangkan serangan ini melibatkan seorang diplomat asing?

Adalah sesuatu yang memalukan buat Wisma Putra dan pasukan keselamatan KLIA yang dilihat sambil lewa dalam menangani insiden serangan ke atas seorang diplomat asing.

Andai kata klip video berkenaan tidak didedahkan, kemungkinan untuk mana-mana pihak tampil bertanggungjawab adalah cukup tipis.

Siapakah kumpulan samseng ini?
Polis harus membentangkan laporan siasatan kepada umum mengenai insiden ini. Siapakah kumpulan samseng ini dan apakah motif mereka dalam menyerang seorang diplomat asing secara terbuka tanpa mempedulikan pasukan keselamatan KLIA?

Apakah mereka mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas puak pemisah Sri Lanka Liberation Tigers of Tamil Eelam (LTTE) yang berkemungkinan sudah pun bertapak di negara ini dalam usaha untuk menguatkan propaganda perjuangan mereka menentang kerajaan Sri Lanka?

Penglibatan seorang pemimpin pembangkang di negara ini dengan kumpulan pengganas LTTE ini tidak boleh dinafikan apabila si politikus berkenaan pernah menjadi ahli Jawatankuasa Hal Ehwal Perlembagaan LTTE pada 2003. Apakah insiden ini mempunyai hubung kait dengan pemimpin pembangkang ini?

Insiden ini bukan sahaja melibatkan isu diplomatik antara 2 buah negara serta kelemahan pasukan keselamatan di KLIA tetapi juga perlukan penjelasan daripada pihak polis dan Wisma Putra, sama ada kita sedang berdepan dengan pengganas LTTE seperti kumpulan IS, ataupun ini satu jenayah kebencian terhadap rakyat Sri Lanka.

Edwin Michael ialah pensyarah Sains Politik dan Kewartawanan di Universiti Tunku Abdul Rahman, Perak.

No comments: