Sunday 7 August 2016

Zuraida gesa ahli pertahan pemimpin PKR dari diserang

Ketua Wanita PKR Zuraida Kamarudin hari ini menggesa ahli-ahli parti supaya tidak menyokong serangan tidak berasas terhadap pemimpin parti mereka, termasuk dirinya sendiri.
Dalam ucapan beliau ketika merasmikan mesyuarat agung tahunan wanita cabang PKR Selangor dan Wilayah Persekutuan, Zuraida kesal kerana terdapat anggota kanan parti yang dikenali secara peribadi menyebarkan dakwaan dengan mempersoalkan sumber kekayaan beliau.
"Sifat apa ini? Apa pendirian kita? Setiap kali bila pemimpin kita diserang, kita kena pertahankan," kata Ahli Parlimen Ampang itu dalam menepis dakwaan memiliki sembilan kenderaan mewah.
Zuraida, yang juga timbalan pengerusi PKR Selangor menjelaskan beliau hanya mempunyai tujuh kereta- yang mana empat telah digunakan oleh diri sendiri, suami dan dua anak perempuan.
Baki tiga kenderaan dibeli di bawah namanya tetapi digunakan oleh ahli-ahli PKR.
Zuraida juga menegaskan bahawa kenderaan itu dibeli dengan diskaun hampir 50 peratus menggunakan kemudahan yang disediakan kepada semua ahli Parlimen.
"Ahli Parlimen setiap penggal diberi AP. Kita juga dapat kuota lagi satu kereta, duti eksais dikurangkan.
"Kerajaan juga bagi pinjaman RM100,000 untuk beli kereta. Jadi ada tiga (kereta satu penggal)
"Kalau kemudahan ini saya tak gunakan untuk keluarga saya, tak bodoh ke saya? Dua penggal 6 kereta.
"Kereta atas nama saya sebab yang jadi YB saya, bukan suami, bukan anak-anak saya," katanya di sebuah hotel di Subang Jaya hari ini.
Mengulangi cabaran agar individu yang memulakan khabar angin itu mendedahkan identiti mereka, Zuraida mengingatkan ahli-ahli parti untuk tidak jatuh ke dalam perangkap dan melemahkan parti.
"Yang lama tumpang Semangkuk, yang baru dan tak tau apa tumpang dua mangkuk," katanya.
Zuraida juga menyatakan terdapat mereka yang membantu kempennya dahulu kini turut membuat tuduhan mengenai sumber kekayaannya.
Pada sidang akhbar selepas itu, Zuraida berkata anggota PKR mesti mempertahankan pemimpin-pemimpin mereka sendiri apabila Umno mengambil peluang menyerang mereka.
"Disebabkan itu saya nasihatkan anggota PKR jangan terlibat (menyebarkan berita angin)," katanya.
Terlebih dahulu bulan lepas, Umno Online memetik ketua Wanita Umno Ampang Rozaidah Talib yang mempersoalkan tindakan berdiam diri Zuraida atas tuduhan itu yang dibuat oleh Ketua Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard.

No comments: