Saturday 8 October 2016

Adun Jorak sertai PPBM tidak jejas BN Johor, kata MB

Datuk Dr Shahruddin Md Salleh
JOHOR BAHRU: BN di negeri ini tidak sesekali tergugat dengan pelantikan bekas pemimpin Umno Johor Datuk Dr Shahruddin Md Salleh sebagai setiausaha agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).
Malah, Pengerusi BN Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata perkembangan itu akan menyebabkan BN lebih bersemangat untuk bekerja kuat bagi menghadapi pilihan raya umum (PRU) akan datang, sekali gus menawan beberapa kerusi termasuk yang terlepas daripada genggaman mereka semasa PRU lepas.
“Kerajaan negeri menganggap ini realiti politik, berasaskan keadaan semasa yang dilalui hari ini.
“Bagaimanapun, ini tidak bermakna kita sebagai parti pemerintah lemah. Saya sudah berkali-kali menyatakan, kita masih mempunyai majoriti selesa dan paling penting ialah melaksanakan tugas dengan baik, bukan melihat kepada angka semata-mata,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan Deepavali kepada 200 penerima di Dewan Serbaguna Taman Scientex, Pasir Gudang, hari ini.
Khaled yang juga menteri besar Johor, diminta mengulas mengenai pelantikan Shahruddin itu, seperti diumumkan presiden parti berkenaan, Tan Sri Muhyiddin Yassin, semalam.
Shahruddin yang juga Adun Jorak, meletak jawatan sebagai naib ketua Umno Bahagian Pagoh pada 4 Julai lepas.
Susulan perkembangan terbaharu itu, Khaled yang juga pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor turut ditanya mengenai kemungkinan lebih ramai ahli BN khususnya Umno menyertai pembangkang.
“Mereka masih menyayangi parti dan dalam apa keadaan sekalipun, saya yakin mereka boleh berfikir secara mendalam, walaupun saya tidak nafikan parti pembangkang sedang mengasak beberapa kerusi di selatan dan utara Johor,” katanya.
- Bernama

No comments: