Saturday 8 October 2016

Dagangan dua hala Malaysia-Iran dipertingkat, kata PM

najib iran
PUTRAJAYA: Malaysia berharap dapat meningkatkan hubungan dagangan 2 halanya dengan Iran pada tempoh selepas berakhirnya sekatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) terhadap negara itu, kata Datuk Seri Najib Razak.
Perdana menteri berkata tindakan sekatan yang dikenakan terhadap Iran menyebabkan jumlah dagangan antara Malaysia dan Iran bagi tempoh Januari sehingga Jun tahun ini, susut kepada RM1.03 bilion, hanya separuh daripada angka sebelum ini.
“Sehubungan itu, matlamat segera sepertimana yang dipersetujui antara Presiden Dr Hassan Rouhani dan saya, adalah untuk menggandakan jumlah dagangan dalam masa terdekat ini dan ia akan dipertingkatkan pada tahun akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media bersama dengan Rouhani yang memulakan lawatan rasmi dua hari ke Malaysia di sini, hari ini.
Ini merupakan lawatan pertama beliau ke negara ini sejak dilantik sebagai presiden pada 2013.
Najib berkata antara objektif bagi mencapai matlamat berkenaan adalah dengan memastikan transaksi perniagaan membabitkan sistem perbankan kedua-dua negara itu dapat dilaksanakan.
“Sebagaimana yang anda semua maklum, tindakan sekatan itu mengekang usaha bagi tujuan menjalankan perniagaan. Oleh itu, bank pusat Malaysia dan Iran akan berbincang dalam masa terdekat bagi mengenal pasti mekanisme baharu yang membolehkan sektor swasta kedua-dua negara menjalankan perniagaan secara cekap dan berkesan.
“Kita mahukan ia menjadi kenyataan dan saya yakin mekanisme baharu itu dapat dihasilkan dalam tempoh terdekat,” katanya.
Mengenai minyak sawit, Najib berkata Lembaga Minyak Sawit Malaysia memutuskan untuk membuka pejabat serantau di Tehran pada suku pertama 2017.
Beliau berkata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Mah Siew Keong akan mengetuai delegasi ke Iran tidak lama lagi.
Berhubung mesyuarat dengan presiden Iran, Najib berkata Malaysia amat berminat untuk menyertai sektor minyak dan gas, pembinaan lebuh raya dan automotif negara itu.
“Iran mengeksport 12,000 kereta Proton Saga sebelum ini dan kita berharap Malaysia dapat menyertai industri automotif negara itu, khususnya sebagai pembekal,” katanya.
Berkaitan pelancongan pula, beliau berkata Malaysia dan Iran berharap untuk meningkatkan jumlah pelancong antara kedua-dua negara.
“Kita menyaksikan (ketibaan) pelancong dari Iran agak menurun dan berharap angka tersebut akan meningkat.
“Kita menerima kira-kira 65,000 pelancong Iran tahun lepas, namun angka berkenaan jauh lebih tinggi sebelum ini, kita berharap melalui usaha yang giat dijalankan, lebih ramai pelancong Iran berkunjung Malaysia,” katanya.
Najib berkata, kedua-dua pemimpin juga berbincang mengenai keperluan untuk bekerjasama di peringkat antarabangsa dalam pelbagai forum bagi memastikan kestabilan dan keamanan dalam dunia Islam.
“Kita mungkin mempunyai pendapat yang berbeza, tetapi kita mempunyai objektif dan matlamat yang sama. Oleh itu jika kita bekerjasama lebih rapat, ia akan menjadi lebih baik untuk dunia Islam.
“Semasa kedua-dua pertemuan itu, kami berpeluang bertukar pendapat dan pandangan secara terbuka mengenai bagaimana kedua-dua negara boleh meningkatkan hubungan ke tahap lebih tinggi.
“Saya yakin lawatan rasmi beliau akan membawa era baharu dalam meningkatkan dan mengukuhkan lagi hubungan antara Malaysia dan Iran,” katanya.
- Bernama

No comments: