Saturday 8 October 2016

Baju merah, kuning semua kena siasat, kata KPN

Khalid
KUALA LUMPUR: Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata polis akan menyiasat gerakan Baju Merah dan Bersih 5 di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 kerana konvoi dan perhimpunan yang dibuat sebelum ini tidak mematuhi undang-undang.
Ketua polis negara berkata ini kerana kedua-dua pihak tidak memberi notis sebelum mengadakan konvoi dan perhimpunan itu.
“Dalam hal ini, kedua-dua pihak melanggar undang-undang baik kuning, baik merah. Adakah mana-mana pihak beri notis nak buat sebarang perhimpunan sebelum menjalankan aktiviti itu?
“Apabila pihak tidak beri notis mahu perlindungan polis, lepas dah buat salah, orang marah, dia minta perlindungan. Selalu kita beritahu sebelum berhimpun, beri notis kepada kita. Patuhi Akta. Kedua-dua pihak akan disiasat kerana tidak mematuhi Akta Perhimpunan Aman 2012,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang medianya selepas Majlis Serah Terima Tugas Pengarah Jabatan Sumber Strategik dan Teknologi (StaRT) serta Majlis Pemakaian Pangkat di Mess Pegawai Kanan Bukit Aman hari ini.
Baru-baru ini, konvoi Bersih 5 ketika di Teluk Intan bergelut dengan peserta Baju Merah, selepas penyokong gerakan itu bertindak mengoyakkan kain rentang Bersih.
Bersih 2.0 dalam kenyataan balasnya berkata kejadian di Teluk Intan itu bukan satu-satunya insiden keganasan terhadap mereka kerana konvoi Bersih 5 di Kangar, Arau, Lumut dan Johor Bahru turut diganggu.
Khalid berkata jika kedua-dua gabungan NGO itu terbukti melakukan kesalahan, pihaknya akan bertindak dan tidak akan berat sebelah.
“Penganjuran konvoi kamu menjejaskan perjalanan awam, trafik dan orang awam. Apa susahnya beri notis, kita boleh bantu lagi.
“Ini keras kepala anggap itu hak mereka, tapi tak sedar ia melanggar undang-undang. Saya nasihat mereka ikut undang-undang,” katanya.
Mengulas mengenai kenyataan Jamal yang mendakwa Bersih diresapi IS dan turut mengemukakan bukti pada Selasa lalu, Khalid berkata pihaknya menerima laporan itu dan sedang menyiasatnya.
“Kita sidang meneliti, perhalusi apa bukti yang dia bagi kita..belum selesai (siasat),” katanya.
Dalam perkembangan lain, Khalid berkata individu yang kerap membuat aduan polis atas kepentingan politik akan dikenakan tindakan di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan atas kesalahan membuat laporan palsu.
“Saya nampak trend buat laporan polis lebih kerap dan sesuka hati. Jadi kita membuat keputusan jika ada pihak didapati sengaja menggunakan polis demi kepentingan politik, tindakan akan diambil kerana buat laporan palsu,” katanya.
- FMT

No comments: