Saturday 8 October 2016

Mahdzir: Kenapa kerja dengan kerajaan, kalau jadi setiausaha pembangkang?

mahadzir
PETALING JAYA: Datuk Dr Shahruddin Md Salleh ditamatkan perkhidmatan sebagai pengerusi lembaga pengarah Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) berkuat kuasa serta-merta, sehari selepas dilantik setiausaha agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).
“Apabila dia (Shahruddin) jadi setiausaha parti pembangkang, buat apa hendak bagi dia berkhidmat dengan kerajaan lagi,” kata Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid kepada Astro Awani, semalam.
Kementerian Pendidikan dalam satu kenyataan yang dipetik Bernama semalam memaklumkan penamatan itu berdasarkan kuasa diberikan kepada Menteri Pendidikan di bawah Artikel 135 (1) Tataurusan Syarikat ITBM.
Beliau dilantik sebagai pengerusi lembaga pengarah ITBM pada 1 Februari 2010 sehingga 31 Januari 2012, sebelum memegang jawatan sama ekoran sambungan kontraknya pada 1 Februari 2012 sehingga 31 Januari 2014.
Menurut kenyataan itu, Shahruddin bagaimanapun melepaskan jawatan itu pada 19 April 2013 kerana terbabit dalam politik.
“Namun, pada 1 Julai 2013, beliau sekali lagi dilantik Menteri Pendidikan ketika itu untuk memegang jawatan sama di ITBM sehingga 30 Jun 2015.
“Setelah tamat kontrak tersebut, kontrak Datuk Dr Shahruddin Md Salleh disambung sebagai pengerusi ITBM berkuat kuasa mulai 1 Julai 2015 sehingga 30 Jun 2017,” menurut kenyataan itu.
Kelmarin, Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelantikan Shahruddin yang merupakan bekas setiausaha politiknya sebagai setiausaha agung parti itu.
Pelantikan adun Jorak itu menjadikan PPBM kini memiliki 3 kerusi, selepas Parlimen Pagoh (Muhyiddin) dan DUN Ayer Hitam (Datuk Seri Mukhriz Mahathir).
Shahruddin meletak jawatan sebagai naib ketua Umno Bahagian Pagoh, pada 4 Julai lalu, sebagai membantah pemecatan Muhyiddin dalam parti itu.
- FMT

No comments: