Saturday 8 October 2016

Kereta masih boleh masuk KL selepas MRT siap

mohd-amin-nord_dbkl_kl_road_6001
KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak merancang untuk mengenakan caj kepada kereta persendirian yang masuk ke ibu kota selepas projek transit aliran berkapasiti tinggi (MRT) Line 1 beroperasi.
Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Mhd Amin Nordin Abd Aziz yang menafikan laporan akhbar berhubung perkara itu berkata laporan berkenaan adalah tidak benar.
“Tiada perancangan dalam melaksanakan sistem caj kereta persendirian masuk ke ibu kota selepas MRT selesai (siap dibina),” katanya.
Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan ‘The Edge’ semalam menyebut DBKL akan melaksanakan sistem itu yang menjadi inisiatif terakhir untuk mengurangkan kesesakan di bandar seterusnya menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam.
Dalam laporan itu, Timbalan Pengarah Kanan Jabatan Perancangan Bandar DBKL Nik Mastura Diyana Nik Mohamad dipetik sebagai berkata pihaknya sedang mengkaji perkara itu yang mana harga yang bakal dicaj belum ditentukan lagi.
Sistem itu dilihat akan mengenakan caj kepada mana-mana kenderaan yang pergi ke pusat bandar seperti mana yang dilaksanakan di Singapura ketika ini.
- Bernama

No comments: