Tuesday 11 October 2016

Dulu Najib, kini Tun – watak utama insiden ‘listen’ ubah haluan

Sharifah-Zohra-Jabeen-Syed_600
PETALING JAYA: Wanita ini pernah dikecam hebat selepas klip video yang dirakam akhir tahun 2012 mula menjadi viral pada awal tahun berikutnya, sehingga mengundang kecaman hebat rakyat Malaysia yang menyifatkannya angkuh dalam perbualan dengan seorang pelajar di sebuah majlis di Universiti Utama Malaysia (UUM), Kedah.

Kini, hampir 4 tahun selepas insiden yang diberi jolokan “Listen listen listen” itu, Sharifah Zohra Jabeen Syed Shah Miskin menganggap apa yang berlaku ada hikmahnya.

Malah, wanita yang pernah mengetuai sebuah pertubuhan bernama Suara Wanita 1Malaysia (SW1M) yang kuat menyokong kepimpinan Datuk Seri Najib Razak itu, kini bertukar arah.

Sharifah kini merupakan presiden Kelab Generasi Tun (GT), menyokong perjuangan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) menentang Najib.

“Saya wujudkan Kelab Generasi Tun untuk berjuang menentang kemungkaran. Ia satu perjuangan untuk masa depan anak bangsa di negara ini,” katanya kepada FMT baru-baru ini menceritakan kelab yang dinaungi bekas menteri besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, dengan keahlian 7,000 orang dan cawangan di 11 negeri.

Lumrah kehidupan

Sharifah menyifatkan apa yang dilaluinya 3 tahun lalu sebagai lumrah kehidupan.

“Ia sekadar peristiwa, setiap orang ada peristiwa silam. Ia datang dan pergi dalam hidup saya. Sama ada isu listen itu ada atau tidak, saya menjalani hidup saya seperti biasa.

“Sebagai orang Islam, kita terima aturannya. Saya sama seperti anda, menjalani kehidupan sederhana. Saya akui Isu listen serba sedikit ada mendatangkan kesan tetapi bukan sepanjang masa,” katanya.

Beliau akur insiden itu menutup beberapa “pintu”.

“Saya rasa jika wanita lain dalam dunia ini yang mengalami fenomena ‘listen!’ ketika itu, saya rasa mungkin sudah lar,” katanya.

Fenomena “listen” yang dirujuk itu ialah klip video pertikaman lidahnya dengan pelajar perundangan UUM, KS Bawani, aktivis Parti Sosialis Malaysia yang baru-baru ini berjaya dilantik menjadi peguam.

Bawani ketika itu mempertahankan perhimpunan Bersih, tetapi Sharifah berulang-ulang menyuruhnya “listen” (dengar).

Ia terus menjadi bahan jenaka di internet, dengan pelbagai video dan lagu parodi dimuatkan oleh individul mahupun perniagaan yang cuba mengeksploit video popular itu.

Reaksi negatif terhadap Sharifah terlalu besar sehinggakan beberapa pemimpin Umno cuba menjauhkan diri daripada menyokongnya.

Sharifah menceritakan kepada FMT bagaimana mereka yang pernah mengecamnya memohon maaf dan menjadi sahabat rapat beliau.

“Kejadian Listen mengajar saya menjadi kuat,” katanya, sambil menambah beliau juga mendoakan yang terbaik untuk Bawani.

“Sekiranya saya berdendam dengan beliau, sudah tentu saya sudah cari media buat kecoh.”

Berubah?

Sharifah berkata beliau beralih arah menentang pentadbiran sekarang disebabkan krisis ekonomi serta “pelbagai skandal” yang menyelubungi Najib.

“Majoriti rakyat sedar dan melihat keadaan ekonomi negara yang tidak menentu, kos kehidupan yang semakin tinggi, pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) dan skandal (1MDB) yang melanda, Malaysia ternyata perlukan perubahan dalam kadar segera.

“Sekiranya kepimpinan boleh memimpin dengan baik sudah tentu kita sokong,” katanya.

Namun Sharifah masih tidak boleh dianggap seorang penyokong pembangkang – beliau tidak benci kepada Umno dan Barisan Nasional (BN).

“Kita hanya mahu perubahan sebab terlalu banyak skandal serta isu yang gagal dijawab.”

Sebagai contoh, Sharifah berkata beliau sama sekali tidak menyokong perhimpunan Bersih 5.0 yang bakal dianjurkan bulan depan bagi mendesak pengunduran Najib.

“Kita tidak mahu kecelaruan berlaku di atas jalan raya, jika nak bersuara guna saluran yang betul,” katanya memberikan pendapat yang mencerminkan pendirian beberapa pemimpin BN.

“Memang kamu cakap perhimpunan itu aman tetapi akhirnya ia akan jadi kucar kacir.”

Bagi Sharifah, perhimpunan Bersih “jelas melanggar undang-undang” dan “boleh menyebabkan pertumpahan darah”

“Negara ada undang-undang, demonstrasi di jalanan tidak selesaikan masalah malah anda akan menyebabkan keadaan bertambah buruk,” katanya.

Beliau berkata Kelab Generasi Tun menolak demonstrasi jalanan.

“Jadi listen, listen, listen! Tolak perhimpunan jalanan,” katanya.

- FMT

No comments: