Sunday 9 October 2016

Mahasiswa antara 16 ditahan terlibat IS

khalid-1
KUALA LUMPUR: Seorang pelajar universiti awam dan seorang warga asing adalah antara 16 lelaki ditahan kerana dipercayai terlibat dengan kegiatan kumpulan pengganas.
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata semua mereka yang berusia antara 20 dan 38 tahun ditahan Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman di sekitar Selangor, Kelantan, Perak, Kedah, Pulau Pinang dan Sabah antara 21 September hingga 6 Oktober lepas.
“Mereka yang ditahan terdiri daripada 5 peniaga; 4 juruteknik; 2 penganggur; seorang guru kaunseling di sekolah kerajaan; seorang kakitangan bank; seorang pengurus eksekutif; seorang pencari barangan antik dan seorang pelajar,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Khalid berkata pelajar berusia 20 tahun yang menuntut di sebuah universiti di Johor, ditahan ketika pulang ke tanah air di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang, pada 22 September lepas.
Menurutnya suspek berlepas ke Istanbul, Turki pada 7 September lepas dan ditahan pihak berkuasa Turki pada hari keesokannya kerana merancang untuk menyusup masuk ke Syria bagi menyertai kumpulan pengganas di negara itu.
“Tangkapan yang dibuat pihak berkuasa Turki itu hasil maklumat Cawangan Khas Bukit Aman,” katanya.
Khalid berkata seramai 14 lagi suspek warga tempatan yang ditangkap disyaki merupakan anggota pengganas IS daripada kumpulan yang diketuai Muhammad Wanndy Mohamed Jedy.
Mereka disyaki berbai’ah secara dalam talian kepada Wanndy dan menyalurkan dana kepadanya, katanya.
Beliau berkata dalam operasi itu polis turut menahan seorang lelaki warga asing berumur 32 tahun yang dipercayai berasal dari utara Afrika kerana disyaki menganggotai Kumpulan Jahbat Al Nusra di Syria.
“Lelaki itu ditangkap di Selangor pada 25 September. Hasil siasatan juga mendapati suspek beberapa kali menyusup masuk ke negara ini sejak Mei lepas. Semasa di Malaysia, suspek disyaki terlibat dalam sindiket pemalsuan dokumen perjalanan bagi kegunaan Kumpulan Jahbat Al Nusra,” katanya.
Sehubungan itu, Khalid berkata semua suspek disyaki melakukan kesalahan di bawah Bab VIA – kesalahan berkaitan keganasan, Kanun Keseksaan (Akta 574) dan akan disiasat mengikut prosedur mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Akta 747).
- Bernama

No comments: