Sunday 9 October 2016

Jangan salahkan 1.1 juta penjawat awam, kata KSN

ali-hamsa
PUTRAJAYA: Masyarakat tidak sepatutnya menganggap semua 1.16 juta penjawat awam terlibat dengan kegiatan rasuah hanya kerana tindakan segelintir individu, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.
Merujuk kepada penahanan seorang pengarah dan timbalan pengarah sebuah agensi kerajaan di Sabah oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini, beliau berkata ia kes terpencil dan hampir semua penjawat yang lain berintegriti.
Katanya, kerajaan sentiasa mengadakan program untuk meningkatkan integriti pegawai sejak mereka dilantik dalam perkhidmatan dan sentiasa diberikan peringatan sama ada di peringkat atasan mahupun gred paling rendah.
“Kita ada 1.16 juta penjawat awam yang hampir semuanya pegawai berintegriti, janganlah kita samakan tangkapan ini sebagai implikasi keseluruhan kepada penjawat awam,” katanya kepada pemberita pada Seminar Pendidikan Generasi Muda: Teknik Menjawab Soalan Peperiksaan, di sini hari ini.
Pada Rabu lepas, SPRM merampas RM114.5 juta daripada 2 pegawai kanan sebuah agensi kerajaan yang didakwa menyalahgunakan kuasa membabitkan projek infrastruktur bernilai RM3.3 bilion di Sabah, yang merupakan kes terbesar dalam sejarah SPRM.
- Bernama

No comments: