Wednesday 12 October 2016

Orang ramai berkumpul sokong usaha terakhir Anwar untuk bebas

anwar-ibrahim
PUTRAJAYA: Ratusan orang berkumpul di luar Mahkamah Persekutuan pagi ini, bagi menyokong cubaan terakhir Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk dibebaskan, hari ini.

Bekas ketua pembangkang itu sedang menjalani hukuman penjara 5 tahun, selepas mahkamah sama menyokong sabitan kesalahan meliwat bekas pembantunya, Saiful Bukhari Azlan.

Peguam Anwar dijangka menggunakan Peraturan 137 Kaedah-kaedah Mahkamah Persekutuan 1995 untuk semakan semula keputusan panel 5 anggota, dan akan dibenarkan mendengar semula rayuannya.

Di Putrajaya hari ini, polis menutup semua pintu masuk ke mahkamah, ketika penyokong memegang sepanduk dan kain rentang mendesak Anwar dibebaskan.

Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin dijadualkan mengetuai panel 5 hakim Mahkamah Persekutuan untuk mendengar permohonan Anwar mengetepikan sabitan liwatnya.

Dalam senarai yang diedarkan kepada media, panel itu turut dianggotai Ketua Hakim Sabah Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum, Tan Sri Hasan Lah, Tan Sri Abu Samah Nordin serta Datuk Zaharan Ibrahim, dan pihak pembelaan mungkin menolak anggota panel itu.

Ini adalah panel sama yang menolak permohonan terdahulu pada tahun ini untuk memanggil bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Datuk Ramli Yusof untuk memberi bukti tambahan bagi kes itu.

Minggu lalu, seorang daripada peguam Anwar, Latheefa Koya menulis surat kepada Mahkamah Persekutuan untuk mengecualikan 13 hakim di Mahkamah Persekutuan yang mendengar rayuan dan perkara lain berkaitan kes salah laku seksual itu.

- FMT

No comments: