Wednesday, 12 October 2016

Semakan Keputusan Kes Liwat II Anwar Hari Ini

 
KUALA LUMPUR: Selepas menjalani hukuman penjara selama setahun lapan bulan kerana sabitan kes liwat, Datuk Seri Anwar Ibrahim hampir habis menggunakan remedi perundangan untuk memohon dibebaskan daripada pemenjaraan.

Hari ini, Mahkamah Persekutuan akan mendengar permohonan Anwar sebagai usaha akhirnya menggunakan saluran perundangan untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara lima tahun kerana meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan, 31.

Anwar mahu Mahkamah Persekutuan menggunapakai Aturan 137 Kaedah-kaedah Mahkamah Persekutuan 1995 dan membuat semakan terhadap keputusan panel lima hakim diketuai oleh Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria.

Secara alternatif, beliau mahu Mahkamah Persekutuan untuk mendengar semula rayuannya berhubung merit.

Aturan 137 Kaedah-kaedah Mahkamah Persekutuan 1995 membenarkan pihak yang kalah perbicaraan memohon Mahkamah Persekutuan membuat semakan terhadap keputusan.

Walaupun Mahkamah Persekutuan mempunyai bidang kuasa untuk menyemak keputusannya bagi mengelakkan ketidakadilan dan salahguna proses mahkamah, pada umumnya ia hanya dilaksanakan dalam keadaan-keadaan tertentu.

Anwar, 68, sedang menjalani hukuman penjara lima tahun di Penjara Sungai Buloh selepas Mahkamah Persekutuan pada 10 Februari 2015 mengekalkan sabitan dan hukuman penjara yang dijatuhi oleh Mahkamah Rayuan pada 7 Mac 2014.

Dalam penghakiman setebal 116 muka surat, Hakim Arifin berkata mahkamah persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman yang dijatuhin oleh Mahkamah Rayuan selepas mengambil kira betapa seriusnya kesalahan liwat dan hakikat bahawa Anwar telah mengambil kesempatan berdasarkan kedudukannya sebagai majikan kepada mangsa.

Hakim Arifin mengetuai panel lima hakim terdiri daripada Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif dan hakim-hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Tan Sri Abdull Hamid Embong, Tan Sri Suriyadi Halim Omar dan Datuk Ramly Ali.

- mStar
Post a Comment