Tuesday 11 October 2016

800 remaja hamil di Perak, 615 babit pelajar sekolah

Datuk Dr Mah Hang Soon2
IPOH: Sebanyak 787 kes kehamilan dalam kalangan remaja direkodkan di Perak sepanjang tahun lepas, dengan 615 daripada membabitkan pelajar sekolah.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan, Integrasi Nasional, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu Datuk Dr Mah Hang Soon berkata jumlah itu menurun berbanding 892 kes pada 2014.
Walaupun menurun, katanya perkara itu terutama yang membabitkan pelajar sekolah tidak boleh dipandang ringan dan usaha perlu dilakukan termasuk memberi advokasi pendidikan kepada remaja.
“Sebanyak 30,607 kes antenatal (kehamilan) direkodkan di seluruh Perak sepanjang tahun lepas dengan 2.6% daripadanya membabitkan remaja.
“Ada di antara remaja hamil ini merupakan mangsa rogol dan bukan atas kehendak mereka maka, kita akan berusaha membantu mereka dan menyelesaikan masalah ini,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat program Generasiku Sayang di sini, hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Mah berkata sebanyak 3 kes pembuangan bayi direkodkan bagi tempoh Januari hingga September lepas berbanding 5 kes sepanjang 2015.
Selain itu, katanya ‘Baby Hatch’ yang disediakan hospital swasta sejak 2010 juga menerima 7 orang bayi.
Mengenai program Generasiku Sayang, Mah berkata ia bertujuan membantu remaja hamil tanpa nikah dengan menyediakan perlindungan, penjagaan semasa hamil serta pemulihan awal.
“Ini bagi memastikan remaja berkenaan dapat meneruskan kehidupan yang lebih baik dari segi fizikal, mental dan sosial,” katanya.
- Bernama

No comments: