Wednesday 12 October 2016

Pemimpin PKR tidak yakin Anwar akan dibebaskan

Dr-Syed-Husin-Ali--1
PUTRAJAYA: Bekas pemimpin PKR, Dr Syed Husin Ali tidak yakin Datuk Seri Anwar Ibrahim akan berjaya dalam cubaan terakhirnya mengetepikan sabitan liwat dan dibebaskan dari penjara.

“Secara realistiknya, saya agak pesimis kerana dia ditahan untuk menghalangnya bergiat aktif dalam politik.

“Sekarang kerajaan Umno lemah dan pembangkang juga semakin kuat, saya tidak fikir dia akan dibebaskan.

“Kita boleh berharap dan berdoa, tetapi kemungkinan adalah tipis,” kata bekas timbalan presiden PKR itu ketika ditemui di luar Mahkamah Persekutuan, hari ini.

Sementara itu, Pengerusi PKR Perak, Dr Muhammad Nur Manuty juga tidak yakin Anwar akan dibebaskan.

Bagaimanapun, Anwar boleh memohon ulang bicara, jika gagal dalam permohonan semakan kes liwatnya hari ini, kata Nur yang mempengerusikan biro pemahaman dan pemantapan agama PKR.

“Jadi, kita harap apa pun keadaannya, Allah akan memudahkan segalanya, tetapi pasukan peguam ingin membuat satu ulang bicara terhadap Anwar Ibrahim,” katanya kepada pemberita di luar Istana Kehakiman, hari ini.

Ini adalah jalan perundangan terakhir Anwar untuk dibebaskan daripada sabitan kes liwatnya dan hukuman penjara 5 tahun.

Sementara itu, Pengerusi Amanah Wilayah Persekutuan, Dr Hatta Mohd Ramli berharap hakim akan membuat keputusan berdasarkan “bukti dan hujah”.

“Saya yakin hari ini kita akan dapat keputusan yang positif. Kami harap beliau (Anwar) dapat meneruskan kerjayanya di luar penjara,” katanya.

- FMT

No comments: