Tuesday 13 September 2016

Noh akui pemaju perumahan memiliki lesen pinjaman

noh-omar
TANJONG KARANG: Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tan Sri Noh Omar berkata, cadangan membenarkan pemaju perumahan menyediakan kemudahan pembiayaan bukan perkara baharu malah sudah ada beberapa pemaju yang telah diberikan lesen itu.
Minggu lepas, beliau mengumumkan cadangannya itu memandangkan katanya, memang ada peruntukan mengenainya di bawah Akta Pemberi Pinjaman 1951.
Bercakap pada sidang media di sini hari ini, Noh berkata beliau akan memberi penjelasan kepada Kabinet esok berhubung perkara itu dan pihaknya akan akur dengan apa juga keputusan Kabinet kelak.
Noh mengemukakan cadangan itu dalam satu program persidangan perumahan baru-baru ini sebagai maklum balas kepada rungutan pemaju bahawa berlaku peningkatan jumlah rumah siap terbina yang tidak terjual.
Cadangan Noh itu menerima pelbagai reaksi termasuk yang mempersoalkan kewajarannya.
Noh yang juga anggota Parlimen Tanjong Karang berkata demikian selepas menghadiri Program Korban Perdana Parlimen Tanjong Karang, di perkarangan Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang di sini.
Beliau tidak pula menjelaskan lebih lanjut tentang syarikat pemaju yang memiliki lesen memberi pinjaman perumahan.
“Jika Kabinet memutuskan perkara itu tidak seharusnya diteruskan, maka lesen yang diberikan kepada pemaju terbabit akan ditarik balik,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata cadangan sedemikian tidak pernah dibincangkan jemaah menteri.
Sehubungan itu, beliau meminta Noh memberi penjelasan kepada Kabinet mengenai cadangan tersebut.
- Bernama

No comments: