Tuesday, 13 September 2016

Kajian Semula Persempadanan: SPR Syor Tiada Perubahan Bilangan Kerusi Di Semenanjung

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesyorkan tiada perubahan terhadap bilangan bahagian-bahagian pilihan raya kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Semenanjung Malaysia dalam Kajian Semula Persempadanan.

Bagaimanapun, bilangan bahagian pilihan raya DUN di Sabah akan meningkat kepada 13, menjadikannya 73 kerusi.

"SPR bercadang mengesyorkan tiada perubahan bilangan bahagian-bahagian pilihan raya kerusi Parlimen dan Dewan DUN dalam Negeri-Negeri Tanah Melayu.

"Bagi maksud kajian semula persempadanan bahagian-bahagian pilihan raya bagi Negeri-Negeri Tanah Melayu, terdapat pindaan dan perubahan nama kepada bahagian-bahagian pilihan raya kerusi Parlimen dan DUN dalam Negeri-Negeri Tanah Melayu," kata Setiausaha SPR Datuk Abdul Ghani Salleh dalam kenyataan di sini, Selasa.

Bagi Sabah, Abdul Ghani berkata SPR mengesyorkan supaya jumlah kerusi DUN ditambah sebanyak 13 bahagian daripada 60 berikutan pindaan peruntukan dalam Perlembagaan Negeri Sabah.
SPR juga bercadang melakukan pindaan dan perubahan nama kepada bahagian-bahagian pilihan raya kerusi Parlimen dan DUN dalam Sabah, katanya.

Butiran syor yang dicadangkan itu akan menunjukkan keseluruhan bahagian-bahagian pilihan raya kerusi Parlimen dan DUN di Semenanjung Malaysia dan Sabah serta akan dinyatakan dalam notis yang akan disiarkan nanti.

"Satu salinan syor-syor yang dicadangkan akan dipamerkan untuk pemeriksaan orang ramai semasa waktu pejabat pada hari bekerja. Untuk bantahan, hanya pihak-pihak yang dibenarkan oleh Perlembagaan Persekutuan sahaja boleh membuat bantahan," katanya.

Pihak yang dibenarkan membuat bantahan adalah kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan yang keseluruhan atau sebahagian kawasannya termasuk di dalam bahagian pilihan raya yang berkaitan dengan syor itu.

"Yang lain ialah seratus atau lebih orang yang nama mereka ditunjukkan dalam daftar pemilih semasa bagi bahagian-bahagian pilihan raya berkenaan.

"Apa-apa representasi membantah syor-syor cadangan itu hendaklah dikemukakan secara bertulis dan dialamatkan kepada Pengarah Pilihan Raya Negeri bagi negeri berkenaan," kata Abdul Ghani.

Menurutnya representasi bantahan itu mesti sampai kepada SPR dalam masa sebulan bermula dari 15 Sept hingga 14 Oktober ini.

Kajian Semula Persempadanan bagi kerusi Parlimen dan DUN bagi Negeri-Negeri Tanah Melayu dan Sabah bermula Khamis ini.

Kajian semula itu dilaksanakan mengikut peruntukan Fasal (2) Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan dan pindaan kepada Fasal (2) Perkara 14 Perlembagaan Negeri Sabah yang diwartakan pada 18 Ogos lalu.

Beliau berkata SPR akan mempamerkan Syor Kajian Semula Persempadanan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya bagi Negeri-Negeri Tanah Melayu dan Sabah selama satu bulan bermula Khamis ini hingga 14 Oktober.

"Ia akan disiarkan di akhbar-akhbar tempatan pada Khamis ini untuk tujuan semakan dan bantahan," katanya.

- mStar
Post a Comment