Tuesday 13 September 2016

‘Saya menteri yang berjaya, dia ada apa?’, bidas Nazri pada pemimpin MCA

nazri-aziz_Ti-Lian-Ker_600
PETALING JAYA: Datuk Seri Ti Lian Ker bongkak kerana tidak mahu terima hakikat MCA bukan lagi sandaran majoriti pengundi Cina, sebaliknya mahu mengajar Umno bagaimana untuk menang pilihan raya akan datang.
Begitu kata Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz menjawab cabaran Ahli Jawatankuasa Pusat MCA semalam.
“Dia gugur (daripada bertanding dalam pilihan raya), tetapi masih nak bercakap (seolah) orang Cina sokong dia,” katanya kepada FMT.
Semalam, Lian Ker meminta penjelasan daripada Nazri yang membidasnya sebagai ‘bongkak’.
Nazri sebelum itu berkata nasib MCA tidak akan berubah kerana cenderung tidak memberikan kerusi pilihan raya kepada calon tempatan.
Kecenderungan itu, kata Nazri, menyebabkan MCA sekadar menang tujuh kerusi Parlimen dalam pilihan raya lepas, dan kini menjadi ‘parti kecil’ dalam perikatan BN.
Lian Ker kemudiannya menyarankan Nazri supaya meninggalkan BN dan menyertai DAP – Liar Ker tertanya samada Nazri cuba memikat parti pembangkang itu.
“(Dia) Tidak mahu terima hakikat,” jelas Nazri. “Cina hari ini tolak MCA sebagai suara majoriti Cina. (Dia) Masih ingin bercakap seperti hero Cina. Itu bongkak.”
Lian Ker menjelaskan strategi ‘jaguh kampung’ yang membantu Umno memenangi undi di kawasan luar bandar menghakis sokongan pengundi bandar, terutamanya kepada MCA.
“Kalau dia bertanding di Kuantan dalam pilihan raya umum akan datang, saya jamin dia akan kalah. Sebab orang BN sakit,” jawab Nazri.
Beliau menasihatkan Lian Ker supaya berbaik dengan Umno kerana jentera yang bekerja untuk memenangkan BN di Kuantan adalah jentera Umno.
“Kalau tak berjaya macam saya, tak perlu nak ajar saya. Rekod menunjukkan saya berjaya (dalam kerjaya politik) dan saya sudah jadi menteri selama 17 tahun. Dia (Ti) ada apa?”
Sementara itu, Nazri turut mengulas saranan Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Mansor yang menyeru ahli BN supaya menggunakan saluran yang betul untuk menyelesaikan pertelingkahan pendapat.
“Biarlah, itu Tengku Adnan punya hal. Saya cakap benda yang benar. Saya takkan lari daripada perbahasan,” tegasnya.
- FMT

No comments: