Tuesday 13 September 2016

Kewangan skim bantuan guaman tajaan kerajaan gawat

lawyer_law_600
PETALING JAYA: Skim bantuan guaman tajaan kerajaan untuk golongan miskin dan memerlukan diambang kegagalan kerana peguam enggan mewakili anak guam.
Alasannya: kerajaan lambat melangsaikan bayaran untuk khidmat yang diberikan sejak awal tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Badan Peguam Selangor Salim Bashir berkata hampir RM822,000 belum dilangsaikan, manakala rakan sejawat Joseph Mathews dari Negeri Sembilan berkata kerajaan berhutang RM106,000.
FMT difahamkan jumlah keseluruhan hutang kepada peguam di semenanjung antara Januari dan Ogos mencecah RM3.4 juta. Menurut Salim, jawatankuasa bantuan guaman negeri terpaksa merayu ahli supaya mewakili suspek dan tertuduh.
“Tapi kita tak boleh paksa peguam mengambil kes kerana ia secara sukarela,” kata Salim ketika dihubungi.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bantuan Guaman Selangor A Jeyaseelan berkata peguam tidak lagi meyakini rancangan itu walaupun mereka sedar anak guam perlu diwakili secara berkesan.
“Di samping pendapatan bulanan yang mantap, ramai peguam muda menyertai skim ini untuk mengasah kemahiran,” tambahnya.
Jeyaseelan berkata 128 fail belum ditangani, dan tertuduh dalam kes-kes itu terpaksa mengambil peguam berbayar atau tampil ke mahkamah tanpa peguam.
Joseph menjelaskan: “Kegagalan membuat bayaran tepat pada masanya sudah menjejaskan kehidupan peguam terlibat.”
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak melancarkan Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) pada 2012 bagi menyediakan bantuan guaman kepada semua rakyat yang berpendapatn kurang daripada RM36,000 setahun.
YBGK menyediakan bantuan guaman semasa penangkapan, reman, permohonan ikat jamin dan perbicaraan – kecuali kes yang melibatkan hukuman mati.
Skim itu dibantu Majlis Badan Peguam Malaysia. Peguam Negara merupakan pengerusi yayasan manakala pengerusi majlis badan peguam adalah timbalannya.
Najib berkata bekas pengerusi badan peguam Ragunath Kesavan membangkitkan keperluan menubuhkan yayasan itu selepas mendaapti 80% daripada mereka yang didakwa di mahkamah untuk kes jenayah tidak diwakili kerana tertuduh tidak mampu membayar peguam.
Jemaah Menteri meluluskan RM5 juta sebagai geran awal, sebagai tanda sokongan kepada usaha menegakkan keadilan dan menjamin kesakmaan hak semua rakyat di bawah undang-undang.
Presiden Badan Peguam ketika ini, Steven Thiru pada awal tahun ini berkata YBGK memberikan bantuan guaman untuk 514,497 kes antara April 2012 dan November tahun lalu.
YBGK turut meluaskan skop dengan menawarkan bantuan menyediakan petisyen memohon pengampunan kepada mereka yang berdepan hukuman mati ke Lembaga Pengampunan.
Program itu bermula pada Disember 2014 dan sejak itu para peguam temui seramai 40 banduan yang berdepan hukuman mati di Alor Setar, Taiping dan Simpang Renggam.
- FMT

No comments: