Wednesday 12 October 2016

Tak perlu sandiwara, kata exco Selangor kepada Noh Omar

iskandar
PETALING JAYA: Kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak perlu menitiskan air mata melihat pangsapuri di Selangor dalam keadaan daif, kata Datuk Iskandar Abdul Samad.

Malah exco perumahan, pengurusan bangunan dan peneroka bandar itu berkata mereka tidak seharusnya menyalahkan kerajaan Selangor sekarang kerana keadaan itu berpunca daripada kegagalan BN membela nasib penduduk pangsapuri ketika mentadbir negeri.

“Menteri persekutuan yang terlibat tidak perlu menitiskan air apabila membuat lawatan ke mana-mana pangsapuri kerana BN yang gagal memberi pembelaan kepada penduduk pangsapuri ketika pentadbiran mereka di Selangor.

“Apabila kehilangan kuasa di Selangor, BN bersandiwara,” katanya

Katanya, selepas pakatan mengambil alih Selangor pada 2008 pelbagai perubahan dilakukan serta menyelesaikan masalah pangsapuri di seluruh negeri.

“Hakikatnya kerajaan negeri hari ini yang menyelesaikan masalah ditinggalkan BN. Kerajaan negeri yang baharu mewujudkan skim Baik Pulih Negeri Berkebajikan (Ceria) bagi pangsapuri kos rendah dan sederhana rendah pada 2010.

“Selain skim Ceria, kerajaan negeri juga mengecualikan cukai taksiran (cukai pintu) 2016 dengan kehilangan pendapatan kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), dianggarkan sebanyak RM55 juta,” katanya.

Sehingga kini, Selangor berjaya menaik taraf lebih 263 pangsapuri di seluruh negeri dengan nilai RM85,356,020.61.

Iskandar berkata demikian sebagai menjawab kritikan yang dilemparkan BN dan mendakwa kerajaan negeri tidak ikhlas menyelesaikan isu berkaitan projek perumahan Selangor.

Terbaharu, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Noh Omar menuduh Selangor menimbulkan pelbagai masalah berhubung pembinaan rumah mampu milik untuk rakyat yang dirancang kerajaan persekutuan di negeri itu.

- FMT

No comments: