Sunday 9 October 2016

Selepas Agong, Dr M serah Deklarasi Rakyat kepada semua sultan

mahathir-raja
PETALING JAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad menghantar surat kepada semua pemerintah negeri bagi memaklumkan usahanya mendesak perdana menteri meletak jawatan menerusi Deklarasi Rakyat.
Bekas perdana menteri itu berkata, surat yang dihantar pada 4 Oktober lalu itu turut memaklumkan pertemuannya dengan Yang di-Pertuan Agong di Istana Anak Bukit, Alor Setar, pada 15 September lalu.
“Setakat ini, saya belum mendapat reaksi daripada Yang di-Pertuan Agong mengenai perjumpaan tersebut. Tetapi, oleh kerana Majlis Raja-raja akan bermesyuarat pada 11 Oktober ini, saya fikir ada baiknya kita hantar surat kepada semua raja.
“Ini untuk memaklumkan kepada mereka mengenai rayuan kita supaya Majlis Raja-raja ambil tindakan terhadap apa yang terkandung dalam Deklarasi Rakyat,” katanya dipetik Sinar Harian.
Dr Mahathir mengadap Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah, bulan lalu, bagi menyerahkan deklarasi mendesak Datuk Seri Najib Razak meletak jawatan.
Pertemuan itu disahkan pegawai khas Dr Mahathir, Sufi Yusof ketika dihubungi FMT.
Perdana menteri yang berkhidmat selama 22 tahun itu turut memaklumkan raja-raja dan Yang di-Pertuan Agong mempunyai hak dalam perlembagaan untuk menangani masalah dihadapi negara sekarang.
“Dahulu ada pendapat yang raja-raja tiada kuasa lagi. Tetapi, ini tidak benar dan sebab itu kita cuba dapatkan tindakan daripada Majlis Raja-raja kerana mereka ada kuasa.
“Sudah tentulah sebagai raja, mereka perlu ambil kira pandangan terhadap apa yang berlaku dalam negara ini,” katanya.
Bulan lalu, Najib selepas mengadap Yang di-Pertuan Agong, memaklumkan Deklarasi Rakyat yang diserahkan Dr Mahathir itu tidak mengikut Perlembagaan, maka baginda tidak mahu terbabit dengannya.
- FMT

No comments: