Sunday 9 October 2016

Hasrat 1 lawan 1 hanya omong kosong pembangkang, kata MCA

liow
BATU PAHAT: Hasrat pembangkang meletakkan calon menentang Barisan Nasional (BN) dalam pertandingan satu lawan satu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) hanya omong kosong, kata presiden MCA.
Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, mereka tidak akan dapat mencapai kata sepakat kerana parti dalam pakatan pembangkang bercanggah pendapat dan kepentingan sesama sendiri.
“Kita lihat di Sabah contohnya, masuk sahaja Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), kita dah nampak perpecahan, ada ahli DAP dan PKR keluar parti dan masuk parti lain.
“Saya yakin perkara sama akan berlaku di Semenanjung dengan amalan memancing calon akan berterusan, dari dalam pakatan pembangkang sendiri,” katanya selepas merasmikan Konvensyen MCA Johor di Yong Peng, dekat sini, semalam.
Liow mengulas ucapan Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad di Pagoh, kelmarin, mengenai strategi pembangkang meletakkan calon menentang BN dalam pertandingan satu lawan satu.
Beliau berkata, pilihan raya negeri di Sarawak adalah buktinya apabila strategi satu lawan satu bagi pembangkang gagal kerana mereka tidak dapat mencapai kesepakatan.
“Mereka juga pernah berjanji untuk menubuhkan negara kebajikan, tetapi tidak dapat melakukannya. Mereka juga berjanji DAP akan bekerjasama dengan PAS, mereka tidak dapat melaksanakannya dan ini menunjukkan mereka banyak bercanggah pendapat,” kata menteri pengangkutan itu.
Beliau berkata, formula BN akan menjadi formula mampan untuk jangka panjang yang akhirnya akan memastikan calon-calonnya menang.
“Saya menyeru orang ramai supaya tidak mendengar janji mereka (pembangkang) kerana mereka menabur janji kosong,” kata Liow.
Lebih 1,000 ahli MCA menghadiri Konvensyen MCA itu yang juga dihadiri Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong yang juga ahli Parlimen Ayer Hitam.
- Bernama

No comments: