Wednesday, 3 August 2016

Bekas MB: T'ganu perlu bawa isu p'raya kepada sultan

Bekas menteri besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said berkata Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman perlu membawa isu mengenai pilihan raya mengejut kepada pengetahuan sultan.

"Saya tidak tahu apa-apa (tentang itu). Tetapi jika MB fikir dia mempunyai sokongan yang cukup untuk mengadakan pilihan raya, beliau perlu mengadap sultan.

"Jika baginda tidak bersetuju dengan pilihan raya mengejut, beliau dan Exconya perlu meletak jawatan dan MB baru dilantik," kata Ahmad Said kepada Malaysiakini.

Ahmad Said, yang juga ADUN Kijal meramalkan dua senario yang mungkin berlaku dalam masa terdekat.

"Jika dewan undangan negeri digantung, kemudian pilihan raya mengejut mesti diadakan.

"Tetapi jika lebih daripada dua ADUN Umno keluar parti maka pembangkang akan membentuk kerajaan negeri akan datang," kata Ahmad Said.

Beliau mengulas spekulasi di media bahawa Terengganu berada dalam ambang pilihan raya mengejut

Ini berikutan pertelagahan antara Ahmad Said dan Ahmad Razif, dengan keadaan menjadi lebih kritikal apabila ADUN Ajil Datuk Ghazali Taib dilaporkan menyatakan sokongannya kepada bekas menteri besar Terengganu itu.

Tindakan Ahmad Said dan Ghazali keluar dari Umno akan menyebabkan DUN tergantung, yang boleh membawa kepada pembubaran dewan undangan negeri.

BN memiliki 17 kerusi dalam dewan undangan negeri manakala PAS 14 dan PKR satu kerusi di Terengganu.

Sementara itu, Ahmad Said hari ini mengecam kritikan Ahmad Razif kepadanya sebagai "kebudak-budakan" dan mementingkan diri sendiri.

"Dia tidak sepatutnya mencela saya. dIA menjadi MB kerana pertimbangan saya. Jika saya meninggalkan (parti) begitu sahaja, dia tidak akan menjadi MB.

"Apabila beliau dilantik MB, saya bersetuju. Ada janji projek melimpah-limpah, dengan bajet yang telah diperuntukkan. Tetapi sehingga hari ini, tiada apa-apa," kata Ahmad Said.
Beliau mendakwa Razif turut menyekat peruntukan bagi kawasannya dan cuba menyingkirkannya daripada parti.

Ahmad Said berkata Ahmad Razif juga memberi amaran kepada pemimpin-pemimpin parti yang menyokongnya dan mencadangkan agar beliau dipecat daripada parti itu.

Bagaimanapun Majlis Tertinggi Umno memutuskan bahawa Ahmad Said akan dirujuk ke lembaga disiplin.

Sementara itu, akhbar harian berbahasa Inggeris The Star hari ini melaporkan Ahmad Razif berkata beliau akan kekal sebagai MB dan mengecilkan kemungkinan pilihan raya negeri.

Ahmad Razif juga dilaporkan berkata dia tidak pasti sebab di sebalik tindakan Ghazali.

Ghazali mendakwa majoriti ADUN di negeri ini tidak berpuas hati dengan senario politik yang tidak stabil.

Ketika ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat exco mingguan, Ahmad Razif berkata kepada pemberita hari ini bahawa senario politik di negeri ini masih berada dalam keadaan baik.

"Sebarang isu atau keputusan pada masa depan akan diambil dalam mesyuarat kami," beliau dipetik sebagai berkata.

Mesyuarat exco dilaporkan dihadiri oleh Ahmad Razif dan semua sembilan anggota exco.

No comments: