Saturday 1 October 2016

Penyokong Umno berhimpun desak Guan Eng letak jawatan

guna eng
GEORGE TOWN: Kira-kira 2,500 anak muda dari Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis berkumpul di bulatan Gurney Drive hari ini bagi mendesak Lim Guan Eng meletak jawatan sebagai ketua menteri Pulau Pinang.
Naib Ketua Pemuda Umno, Khairul Azwan Harun berkata, Himpunan Pemuda Bangkit anjuran Umno Pulau Pinang dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO), termasuk Ibu Pertiwi menolak kepimpinan DAP di Pulau Pinang.
“Kami mendesak Guan Eng meletak jawatan sebagai ketua menteri,” katanya pada sidang media selepas himpunan aman kira-kira 30 minit, bagi mematuhi arahan bersurai yang dikeluarkan polis.
Khairul Azwan berkata, pihaknya juga mendesak polis tidak meluluskan Himpunan Bersih yang dirancang diadakan di Pulau Pinang pada bulan depan, kerana ia akan mengganggu ketenteraman awam.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Mior Faridalatrash Wahid ketika ditemui selepas himpunan itu berkata, polis akan melakukan siasatan mengikut Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 kerana penganjur difahamkan tidak memberi notis awal mengenai perhimpunan itu kepada polis.
“Pihak polis mengenal pasti individu terlibat dan akan memanggil mereka untuk diambil keterangan,” katannya.
Sementara itu, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Ghafar Rajab berkata, pihaknya ada menerima permohonan daripada Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah untuk menganjurkan Himpunan Bersih di Pulau Pinang pada November ini.
“Pihak polis meminta penganjur berurusan dengan ketua polis daerah dan menjelaskan tujuan himpunan serta lokasi yang diingini,” katanya ketika dihubungi hari ini.
- Bernama

No comments: