Saturday 1 October 2016

BN sedia isytihar dana politik, jika pembangkang terima akta, kata Ku Nan

ku-nan
KUALA LUMPUR: Barisan Nasional bersedia mengisytiharkan dana politik diterimanya dan mahu parti pembangkang turut serta dalam pelaksanaan Akta Sumbangan dan Perbelanjaan Politik yang dicadangkan Jawatankuasa Konsultatif Nasional Mengenai Pembiayaan Politik, kata setiausaha agung BN.
Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor bersetuju dengan gesaan perdana menteri semalam yang pembangkang juga perlu menyokong akta kawal selia dana politik itu, kerana tidak adil jika ia hanya tertakluk kepada BN.
“Sebelum pilihan raya (umum) lalu, Barisan Nasional sudah bersetuju semua parti politik harus isytihar dana yang diperoleh parti masing-masing.
“Yang tidak mahu terima dulu pembangkang. Inilah masalahnya, jika mereka tidak terima, jadi kita pun tidak buat. Kita sudah bersedia, bila-bila masa boleh buat,” kata menteri Wilayah Persekutuan itu selepas merasmikan Konvensyen Keusahawanan Enterwip 2.0 di Pusat Dagangan Dunia Putra, hari ini.
Semalam, Datuk Seri Najib Razak berkata, sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 lalu, BN pernah mencadangkan keperluan mewujudkan kaedah sumbangan politik lebih telus dan boleh dipantau pihak yang neutral dan objektif, tetapi ia tidak dipersetujui pembangkang.
Pengerusi Jawatankuasa Konsultatif Nasional Mengenai Pembiayaan Politik, Datuk Paul Low berkata, akta untuk menjamin integriti serta tadbir urus dana yang diterima sesebuah parti politik itu akan dibentang kepada Kabinet dalam tempoh 2 minggu lagi, sebelum dibawa ke Parlimen untuk dibahas dan diluluskan.
Sementara itu, Tengku Adnan yang juga setiausaha agung Umno menasihatkan Ketua Gerakan Baju Merah, Datuk Jamal Md Yunos lebih berhati-hati mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh memecah belahkan rakyat pelbagai kaum di negara ini.
“Berkenaan tuduhan itu, kita serahkan kepada pihak berkuasa memeriksa kenyataan berkenaan. Kita tinggal di negara berbilang kaum dan tiada negara lain di dunia ini hidup aman dan berjaya seperti apa yang kita kecapi sekarang.
“Semua pihak, termasuk Jamal sendiri harus berhati-hati sebelum mengeluarkan kenyataan agar tidak menimbulkan kekacauan dek kenyataan yang mampu memecah belahkan rakyat,” katanya.
Rabu lalu, Jamal mendakwa Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) diresapi pengganas IS dan Gerakan Baju Merah akan turun ke 6 lokasi utama konvoi jelajah negeri Bersih mulai hari ini, menuju acara kemuncak di ibu negara, iaitu himpunan Bersih 5 pada 19 November nanti.
- FMT

No comments: