Friday, 19 August 2016

Ahmad Bashah Bidas Cadangan Wujud Timbalan MB Kedah

Ahmad Bashah Md Hanipah
ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah membidas Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir kerana mencadangkan pengwujudan jawatan Timbalan Menteri Besar, sedangkan perkara itu tidak terkandung di dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Kedah.

Sambil berkata, beliau menerima positif cadangan Mukhriz, yang juga bekas Menteri Besar negeri itu, dengan membuat penelitian terhadap Undang-Undang Tubuh Kerajaan negeri tetapi tidak langsung menemui peruntukan mengenai jawatan berkenaan.

"Hasil konsensus dari kalangan Adun (Anggota Dewan Undangan Negeri) Barisan Barisan Nasional (BN) mahupun kelompok pelaksana dasar itu sendiri, maka apa yang dicadang Adun Ayer Hitam (Mukhriz) supaya diwujudkan jawatan Timbalan Menteri Besar tidak berbangkit sama sekali.

"Demikian juga soal penggantian Menteri Besar. Yang Berhormat Ayer Hitam lebih maklum bahawa hak melantik Jemaah Menteri dan juga Menteri Besar adalah hak Ketua Parti (pemerintah). Dalam kes ini, (ia adalah) Yang Amat Berhormat Perdana Menteri," katanya.

Beliau berkata demikan semasa mengggulung perbahasan usul menjunjung titah kasih ucapan Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah pada persidangan DUN negeri pada Khamis.

Dalam sidang DUN kelmarin, Mukhriz (BEBAS-Ayer Hitam) mencadangkan agar jawatan Timbalan Menteri Besar diwujudkan untuk membantu Ahmad Bashah berikutan faktor kesihatan menteri besar itu yang sebelum ini mengalami komplikasi usus.

Ahmad Bashah yang juga Adun Bakar Bata berkata, beliau tidak menjangka mengalami masalah kesihatan hampir sebulan ketika baru dilantik menjadi Menteri Besar.

Bagaimanapun, sepanjang menjalani rawatan, Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Bakar Din, yang diibaratkannya sebagai panglima lapangan, komited menjalankan tugas-tugas pentadbiran negeri.

"Alhamdulillah, kini saya lebih kental dan sihat malah berupaya meneruskan kerja memberi khidmat. Saya juga ingin ucapkan terima kasih pasukan Pegawai Tadbir Kedah yang cukup serasi dengan saya dan rakan-rakan pentadbiran yang lain," katanya.

Justeru itu, beliau meminta pihak pembangkang agar tidak mencampuri urusan dalam kerajaan memandangkan ia adalah hak kerajaan BN.

"Ketika Allahyarham Tan Sri Ustaz Azizan Abdul Razak (bekas Menteri Besar Kedah) ditimpa musibah sakit, Adun BN ketika itu selaku pembangkang, tidak mencampuri urusan dalaman Pakatan dengan mendesak diwujudkan jawatan Timbalan Menteri Besar," katanya.

Ahmad Bashah dalam penggulungannya turut mengucapkan tahniah kepada Mukhriz yang secara mudahnya dinobatkan sebagai naib presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia tanpa perlu melalui sebarang pertandingan.

- Bernama

No comments: