Friday, 12 August 2016

Bank Negara Akan Dipandu Oleh Protokol Antarabangsa

KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) akan dipandu oleh protokol antarabangsa jika Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat mahu mendapatkan bantuan bank pusat itu dalam menyiasat isu berkaitan 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

"Apabila datang kepada penemuan antarabangsa, kami ditentukan oleh protokol tertentu," kata Gabenor BNM Datuk Muhammad Ibrahim.

"Kami secara tegas tetap akan mematuhi protokol-protokol itu dalam kerjasama dengan mana-mana badan penyiasat luar," katanya pada sidang akhbar di sini.
DOJ bulan lalu memfailkan saman sivil terhadap beberapa individu untuk menyita aset bernilai lebih AS$1 bilion yang didakwa hasil daripada dana 1MDB yang disalahguna.

Sementara itu, BNM menegaskan bahawa pihaknya telah selesai menjalankan siasatan ke atas 1MDB dan telah mengambil segala tindakan yang perlu terhadap dana pelaburan negara yang menjadi kontroversi itu. "Kami telah menyiapkan semua siasatan mengenai 1MDB berdasarkan semua maklumat (yang ada) dan kertas siasatan.

"Kami telah mengenakan penalti kepada syarikat itu, kami telah mengambil segala tindakan yang perlu terhadap syarikat itu yang diamanahkan kepada kami di bawah undang-undang dan kami telah menutup siasatan," katanya ketika menjawab soalan mengenai sama ada bank pusat akan memulakan siasatan baharu ke atas 1MDB selepas pendedahan DOJ.

BNM pada April mengeluarkan kompaun kepada 1MDB kerana gagal mematuhi sepenuhnya arahan yang telah dikeluarkan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013.

1MDB pada Mei berkata ia telah membayar sepenuhnya jumlah denda yang tidak didedahkan itu.

BNM ketika itu berkata pembayaran kompaun itu menandakan tamatnya siasatannya berhubung perlanggaran peraturan-peraturan bank pusat.

- mStar

No comments: