Thursday 18 August 2016

DBKL tak mungkin benar himpunan #TangkapMO1 di Dataran Merdeka

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak mungkin membenarkan aktivis pelajar untuk menganjurkan perhimpunan #TangkapMalaysianOfficial1 pada 27 Ogos ini di Dataran Merdeka, kata Datuk Bandar KL, Datuk Seri Mhd Amin Nordin Abdul Aziz.

Beliau sebaliknya mencadangkan kumpulan pelajar itu mengadakannya di Padang Merbok.

Beliau menyatakan demikian dalam jawapannya dalam satu mesej teks semalam.

Bagaimanapun, Datuk Bandar itu berkata, beliau perlu menyemak dengan Jabatan Kebudayaan, Kesenian dan Sukan sama ada Dataran Merdeka digunakan pada hari itu.

Amin Nordin ditanya jika DBKL akan membenarkan kumpulan itu untuk menggunakan Dataran Merdeka, sama ada tempat itu digunakan pada 27 Ogos dan pertimbangan pihak berkuasa untuk meluluskan Dataran Merdeka digunakan untuk perhimpunan tersebut.

Katanya, adalah menjadi dasar standard DBKL untuk membenarkan peserta perhimpunan menggunakan Padang Merbok.

Katanya, seperti tahun sebelumnya apabila BERSIH memohon kebenaran, mereka dibenarkan menggunakan Padang Merbok,

Pihak polis membenarkan protes itu diadakan semasa mesyuarat antara pihak penganjur dan pihak polis. Bagaimanapun, kumpulan pelajar itu perlukan kebenaran DBKL untuk mengadakan perhimpunan yang dirancang itu di Dataran Merdeka.

Perhimpunan itu dianjurkan oleh gabungan belia dan kumpulan pelajar untuk mendesak pihak berkuasa mengenal pasti dan mengambil tindakan terhadap individu yang dikenal pasti sebagai 'Malaysian Official 1' dalam saman sivil Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat untuk mendapatkan balik hampir AS$1 bilion aset yang dikaitkan dengan 1MDB .

Setakat ini, sayap Pemuda PKR, DAP dan AMANAH telah berikrar untuk menggerakkan anggotanya untuk menghadiri perhimpunan tersebut.

Perhimpunan itu juga disokong oleh BERsIH 2.0 dan sebuah gabungan pelajar dan belia.

- MK

No comments: