'Himpunan Baju Merah' akan datang bakal menampilkan 40 peratus penyertaan kaum Cina di Malaysia, ikrar penganjur perhimpunan itu Datuk Jamal Mohd Yunus.
Pemimpin Umno Bahagian Sungai Besar itu mengakui perhimpunan kumpulan itu pada September tahun lalu hanya menarik sokongan orang Melayu, namun kini perkara itu dapat ditangani.
"Bezanya penganjuran kali ini, kita sudah ada persefahaman Melayu, Cina, dan India, dan kita akan turun sekali, bukan macam yang lepas.
"Yang lepas, Melayu sahaja, tetapi perhimpunan kali ini, kami bersama-sama dengan rakan-rakan kami, iaitu daripada orang Cina dan Orang Melayu.
"Saya dah berbincang perkara ini sudah hampir dua minggu, jadi tidak ada masalah dan saya yakin jika perkara ini berlaku, 40 peratus daripada mereka yang hadir adalah daripada orang-orang Cina.
"Kami dah bincang. Kami dah bersedia. Kami serius dalam perkara ini, bukan main-main," katanya kepada pemberita hari ini.
Sehingga tengah hari ini, beliau mendakwa terdapat 58,000 individu menyatakan sokongan kepada perhimpunan tersebut daripada hampir 600 NGO di seluruh negara.
Beliau juga berkata sebanyak 50,000 t-shirt Himpunan Merah sudah dicetak dan 5000 daripadanya mula dijual hari ini pada harga RM10 setiap satu.
Satu siri jelajah seluruh negara juga akan digerakkan bagi mengumpul sokongan.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di luar Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) selepas melancarkan 'Himpunan Merah 2.0' bersama kira-kira 400 penyokong.
Jamal menegaskan perhimpunan itu mensasarkan penyertaan 300,000 peserta Baju Merah sebagai reaksi balas kepada demonstrasi BERSIH 5.0.
Penyertaan kaum Cina sebanyak 40 peratus bermakna kira-kira 120,000 peserta daripada etnik itu akan menghadiri perhimpunan tersebut.
Perhimpunan BERSIH 5.0 adalah bagi memberi tekanan kepada kerajaan berhubung skandal 1MDB ekoran tindakan saman oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) bulan lepas.
Tarikh dan tempat perhimpunan itu bagaimanapun masih belum diputuskan.
Jamal berikrar kumpulannya akan memenuhi kawasan perhimpunan BERSIH 5.0 pada masa dan tempat yang sama.
- MK
No comments:
Post a Comment