Saturday, 13 August 2016

Jangan bernostalgia dengan bekas Umno - Ismail Sabri

 
Anggota Umno yang telah keluar parti hendaklah dianggap sebagai pembangkang walaupun telah berjasa kepada parti sebelum ini.
Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata tindakan sesetengah bekas anggota Umno yang kini bekerjasama dengan parti pembangkang bagi menjatuhkan Umno perlulah dilihat sebagai satu cabaran.
"Jangan ada nostalgia mengenai mereka, kini mereka tiada beza dengan pembangkang malah semasa pilihan raya kecil lepas ada antara mereka yang berkempen menentang Umno," katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan persidangan perwakilan pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno Bahagian Lembah Pantai, hari ini.
Turut hadir Ketua Umno Bahagian Lembah Pantai Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin dan Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan Mohd Razlan Rafii.
Terdahulu, dalam ucapannya Ismail Sabri yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah mengingatkan anggota Umno Lembah Pantai supaya tidak mengharapkan kelemahan pihak pembangkang semata-mata untuk memenangi pilihan raya.
"Kita tidak boleh mengambil mudah cabaran mereka walaupun mereka berdepan dengan pelbagai isu, kita juga perlu bekerja keras menerangkan agenda kita kepada rakyat," katanya.
- Bernam

No comments: