Wednesday 17 August 2016

Muhyiddin pemimpin lidah bercabang, kata Umno S'gor

Tan Sri Muhyiddin Yassin disifatkan sebagai pemimpin yang hipokrit serta tidak ikhlas dalam kata-kata dan perbuatan selama menyandang jawatan di dalam Umno sebelum ini, menurut Ketua Penerangan Umno Selangor, Datuk Zein Isma Ismail.

Beliau berkata, tindakan bekas timbalan presiden Umno itu kini membela DAP amat bercanggah dengan kata-kata dahulu yang sering mengkritik dan menghentam parti itu sebagai parti rasis dan cauvinis.

“Sebab itu saya tegaskan, rupa-rupanya Muhyiddin pemimpin lidah bercabang. Bagi saya, hari ini kita dapat lihat wajah sebenarnya di mana kerana kepentingan peribadi beliau sanggup menggadaikan prinsip perjuangan begitu sahaja.

“Dulu ketika bersama Umno, beliaulah orangnya yang menggelarkan DAP parti cauvinis yang tidak akan memperjuangkan nasib orang Melayu. Bahkan, beliau mengingatkan orang Melayu bahawa DAP parti paling cauvinis yang wujud dalam negara ini.

“Tetapi hari ini, setelah menjadi presiden parti baru kerana kecewa gagal menjatuhkan Datuk Seri Najib (Razak) sebagai Presiden Umno, beliau pula yang membela DAP,” tegas Zein Isma lagi, memetik laporan Umno Online.

Baru-baru ini, Muhyiddin berkata, Najib 'melompat' walaupun tidak sampai seminggu beliau mengemukakan permohonan kepada Pejabat Pendaftaran Pertubuhan Malaysia untuk menubuhkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Najib bersama konco-konconya menyerang secara bertalu-talu terhadap parti yang belum lagi ditubuhkan itu dengan mempersoalkan keupayaan BERSATU untuk membela nasib orang Melayu kerana hubungan parti ini dengan DAP.

"Inilah taktik kotor yang akan digunakan oleh Najib dan konco-konconya untuk menakut-nakutkan orang Melayu.

"DAP bakal dijadikan “hantu” yang paling menggerunkan orang Melayu untuk mengalihkan perhatian orang Melayu daripada segala kesalahan dan kemungkaran Najib.

"Mereka akan terus berkata bahawa DAP adalah musuh utama orang Melayu sambil mengajak orang Melayu untuk terus mempertahankan Najib yang terpalit dengan skandal kewangan paling buruk dalam sejarah bangsa Melayu," ujar Muhyiddin lagi.

Mengulas lanjut, Zein Isma menambah, ahli Umno khususnya orang Melayu perlu sedar bekas-bekas pemimpinnya yang kini menentang parti itu bukanlah atas dasar prinsip perjuangan.

"Ia hanyalah kerana nafsu politik untuk berkuasa semata-mata. Baru sahaja tak sampai berapa lama dipecat daripada Umno, beliau sudah mula bela DAP.

“Kenyataan Muhyiddin juga jelas memperlihatkan bahawa beliau selama ini mempergunakan Umno untuk mencapaikan agenda politik peribadinya sendiri," ujarnya lagi.
- MK

No comments: