Tuesday 2 August 2016

Nurul Izzah ‘dusta’, Ku Nan mahu BN kembali di Lembah Pantai

Nurul Izzah

KUALA LUMPUR: Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor semalam menuduh Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar sebagai pencetus fitnah terbesar kerana tuduhan ke atas Barisan Nasional (BN).

“Jangan dengar apa Izzah cakap mengenai keburukan BN, segalanya dusta belaka. Nong Chik masih mengambil berat terhadap penduduk di Lembah Pantai meskipun kawasan ini bukan milik BN,” katanya merujuk bekas menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin, yang ditewaskan naib presiden PKR itu pada pilihan raya umum lalu.

“Saya mohon rakyat tidak terus tertipu dengan cerita rekaan yang dibuat oleh pihak pembangkang dalam usaha memecah belahkan parti Barisan Nasional,” kata Adnan pada majlis pecah tanah pembangunan semula Bukit Bangsar dan Sri Pahang malam tadi.

Adnan berharap rakyat akan sedar BN sebuah parti yang banyak berjasa, dan mahukan pucuk pimpinan tertinggi bersiap sedia menawan kembali Lembah Pantai.

“Saya sifatkan mereka ‘pihak jahanam’ yang membuat karenah untuk lihat kita jatuh. Ditambah dengan masalah bekas perdana menteri Tun Mahathir (Mohamad) kebelakangan ini bersetongkol dengan pembangkang,” katanya.

No comments: