Tuesday 2 August 2016

‘Tak masuk akal kerajaan tak cukup duit selenggara sekolah’

lim-lip-eng

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng hari ini membidas cadangan Tan Sri Noh Omar mewajibkan semua sekolah kerajaan melancarkan kempen kutip derma bagi menyelenggara bangunan mereka.

Ia susulan menteri kemajuan luar bandar dan wilayah itu berkata dana kerajaan bagi tujuan tersebut tidak mencukupi.

“Adalah langsung tidak masuk akal apabila kerajaan lebih sanggup membelanjakan berbilion ringgit untuk menghantar angkasawan menikmati roti canai di angkasa lepas, serta membina menara pencakar langit KL118 yang akan menjadi bangunan tertinggi di negara, sedangkan begitu banyak plaza komersial yang kian kosong berkadar dengan keadaan ekonomi yang perlahan, tetapi enggan menyediakan khidmat asas kepada negara dengan memberikan anak-anak kita kemudahan tempat belajar yang baik,” kata Lim, merujuk misi menghantar angkasawan negara pada 2007.

Noh, yang dilantik menteri bulan lalu, dilaporkan berkata beliau bercadang mewajibkan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di semua sekolah di Selangor menjalankan aktiviti pungut derma daripada orang awam.

Lim berkata Belanjawan 2016 sudah banyak mengurangkan peruntukan untuk sektor pendidikan, tetapi pada masa sama menambah dana untuk Jabatan Perdana Menteri daripada RM19 bilion tahun lalu kepada RM20.3 bilion.

“Kerajaan sewajarnya mengambil sebahagian daripada peruntukan RM20.3 bilion untuk Jabatan Perdana Menteri untuk digunakan bagi tujuan penyelenggaraan sekolah,” katanya.

No comments: